Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kuari Bukit Lagong: Badan pemantau tuntut penjelasan lanjut dari exco S'gor
Diterbitkan:  Oct 2, 2022 9:39 PM
Dikemaskini: 1:39 PM

Tidak yakin dengan maklum balas Exco Selangor Hee Loy Sian berhubung pendedahan Malaysiakini mengenai kelulusan 27 kuari di Hutan Simpan Bukit Lagong, kumpulan alam sekitar Projek Pendedahan Rimba (RDP) meminta penjelasan lanjut daripadanya.

Ini selepas Hee yang bertanggungjawab dalam bidang pelancongan, alam sekitar, teknologi hijau dan hal ehwal Orang Asli berkata, kira-kira 28 peratus daripada hutan simpan Bukit Lagong di Kuala Lumpur dijangka sedia untuk diusahakan sebagai pusat kuari tanpa tanah perlu dikeluarkan dari rizab berkenaan.

"Walaupun kami mengucapkan terima kasih kepada Hee atas maklum balas awalnya, tapi masih banyak persoalan," kata kumpulan itu.

Terdahulu, RDP, badan pemerhati yang mengumpul dan menjejaki penebangan hutan di seluruh negara, mendedahkan bahawa tanah hutan simpan di kawasan Rawang dan Sungai Buloh dijual secara dalam talian.

Siasatan lanjut Malaysiakini mendedahkan tiga pemaju dikaitkan dengan kerajaan negeri Selangor.

Dua daripadanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik penuh kerajaan negeri - Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) yang kedua-duanya dipengerusikan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

"Selaras dengan hak kami untuk mendapatkan maklumat mengenai aktiviti dalam hutan simpan, kami menuntut pihak berkuasa Selangor menangani tuntutan berikut," kata kumpulan itu lagi.

"Dalam maklum balas Hee menyatakan bahawa semua kelulusan kuari telah diproses mengikut prosedur yang ditetapkan. Sila terangkan secara terperinci apakah sebenarnya prosedur ini.

“Siapa yang memutuskan bahawa lebih 800 hektar Hutan Simpan Bukit Lagong boleh dibahagikan, dan bagaimanakah 27 syarikat ini dipilih?

"Selanjutnya, mengapakah permintaan kebebasan maklumat sebelum ini untuk mendapatkan penjelasan mengenai kuari di Bukit Lagong ditolak dengan alasan bahawa maklumat tersebut dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi," soal RDP.

Terdahulu, Hee menyatakan bahawa kuari itu telah diluluskan pada 2019 sebagai lesen kecil di bawah Seksyen 28 (Penggunaan) (Pindaan) Akta Perhutanan Selangor 1985.

Namun, RDP meminta penjelasan jika lesen tersebut telah diperbaharui.

"Menurut akta tersebut, bagaimanapun, semua lesen kecil tamat tempoh pada akhir tahun di mana ia bermula dan ia hanya boleh diperbaharui untuk tempoh enam bulan.

"Apakah proses, seperti analisis kos-faedah, yang membenarkan lebih daripada 800 hektar dalam hutan simpan dipilih sebagai 'zon korban' untuk pengkuarian," soal badan pemantau itu lagi.

"Hee menjelaskan bahawa semua operasi kuari di hutan simpan adalah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh jabatan teknikal seperti Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta pihak berkuasa tempatan sebelum dan semasa beroperasi. Selanjutnya, dia menegaskan semula bahawa penilaian kesan alam sekitar adalah wajib.

"Bagaimanapun, ini adalah persoalan lebih daripada 800 hektar hutan simpan kekal yang terancam. Pada masa lalu, projek yang mematuhi peraturan alam sekitar yang sedia ada tidak menghalang penebangan hutan sebagai sebahagian daripada projek tersebut," kata RDP lagi.

Kumpulan alam sekitar itu juga menyoal bagaimanakah pematuhan kepada peraturan alam sekitar ini akan memberi kesan kepada fakta bahawa lebih daripada 800 hektar hutan akan ditebang dan tanah di bawahnya diletupkan.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS