Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saya akan bertanding PRU15, kalau jadilah - Rahim Tamby Chik
Diterbitkan:  Oct 3, 2022 8:45 AM
Dikemaskini: 12:48 AM

Bekas Ketua menteri Melaka, Abdul Rahim Tamby Chik memberi bayangan akan membuat kemunculan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini, sekiranya mendapat restu daripada pucuk pimpinan Bersatu, parti yang disertainya sekarang

“Saya akan bertanding di (Parlimen) Hang Tuah Jaya, mungkin…kalau jadilah,” katanya dipetik Astro Awani semalam.

Meskipun sudah beberapa penggal tidak bertanding, bekas pemimpin Umno itu masih yakin peluang untuk menang.

Menurut Abdul Rahim, masih ramai mengingati jasanya melakukan transformasi ekonomi di Melaka ketika mentadbir negeri itu dari 1982 hingga 1994.

Abdul Rahim meletak jawatan sebagai ketua menteri Melaka pada 1994 selepas dituduh terlibat dalam kes rogol bawah umur.

Bagaimanapun dia menafikan dakwaan itu dan mengatakan dia meletakkan jawatan bagi membolehkan siasatan dijalankan tanpa sebarang campur tangan.

Tiada pertuduhan dikenakan terhadapnya dan dia mendakwa semua bukti terhadapnya adalah palsu.

Pada 2018, Abdul Rahim memohon menyertai Bersatu, tetapi keahliannya tidak disahkan berikutan tentangan daripada Pakatan Harapan ketika itu.

Kali terakhir media melaporkan mengenai permohonannya menyertai Bersatu pada Mac 2019, namun parti itu masih belum membuat keputusan ketika itu.

Bagaimanapun, semakan di media sosialnya mendapati Abdul Rahim diterima menyertai Bersatu pada tarikh yang tidak didedahkan.

Sebelum ini Abdul Rahim pernah membantu kempen Bersatu semasa pilihan raya kecil Tanjung Piai pada November 2019.

Sementara itu, Abdul Rahim meramalkan Umno tidak akan memenangi lebih daripada 50 kerusi pada PRU15.

Katanya, sebagai orang lama dalam politik, dia berpendapat Umno ibarat sebuah rumah besar namun sudah buruk, berlubang, dipenuhi anai-anai dan sukar untuk dibaiki.

Lihat Komen
ADS