Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pulihkan MN: PAS buat keputusan hujung minggu ini
Diterbitkan:  Oct 3, 2022 11:21 AM
Dikemaskini: 3:21 AM

PAS akan mengkaji secara mendalam keterbukaan Umno dalam usaha memulihkan agenda penyatuan Ummah susulan pertemuan empat mata antara kedua-dua presiden parti itu.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, PAS akan membuat keputusan muktamad mengenai kerjasama antara kedua-dua parti pada hujung minggu ini.

"PAS tetap mengharapkan suatu jalinan penyatuan ummah yang sejati dapat direalisasikan di antara Parti-parti Utama Melayu Islam di negara ini dengan mengambil roh dan semangat persaudaraan Islam seperti yang ditunjukkan dalam sirah iaitu antara Aus - Khawraj dan Muhajirin – Ansar yang akhirnya membawa kepada kekuatan dan kegemilangan pemerintahan berteraskan Islam.

"PAS dengan ini mengambil sikap mengkaji secara mendalam keterbukaan Umno dalam hal ini dan akan membuat keputusan muktamad sebelum hujung minggu ini dengan mengambil kira aspek maslahah yang lebih besar serta mudhorat (risiko) yang paling ringan," jelasnya dalam kenyataan.

Takiyuddin berkata PAS turut menekankan soal penyelesaian sesuatu perkara perlu dirujuk kepada sumber agama Islam iaitu al-Quran dan al-Hadith.

Menurutnya perkara itu juga terkandung secara jelas dan tersurat di dalam Piagam Muafakat Nasional (MN) yang telah dimeterai pada 14 September 2019.

Kenyataan itu dilihat sebagai reaksi terhadap kenyataan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berhubung kerjasama dalam MN.

Terdahulu Ahmad Zahid dilaporkan berkata sebarang usaha untuk memulihkan MN mestilah berpandukan kepada prinsip dan semangat piagam asal yang telah dimeterai.

Katanya, Umno tidak pernah memadamkan agenda penyatuan ummah yang menjadi asas kepada kestabilan politik tanah air.

"Sebab itulah sejak dari awal Umno sentiasa menekankan soal keikhlasan dan kejujuran dalam apa jua bentuk permuafakatan.

"Namun, Umno tidak sesekali dapat menerima mereka yang berterusan melakukan pengkhianatan dan mengambil sikap dengan menjadikan BN sebagai musuh utama mereka.

"Justeru, sebarang usaha memulihkan MN atau apa jua bentuk permuafakatan dan kerjasama mestilah kembali berpandukan kepada prinsip dan semangat piagam asal sebagaimana yang pernah dimeterai dan disepakati," katanya.

Lihat Komen
ADS