Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggesa kerajaan mewujudkan garis panduan bagi penerima manfaat inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Ini susulan siasatan PAC yang mendapati inisiatif CSR digunakan untuk mendapatkan kontrak kerajaan tanpa melalui proses perolehan kerajaan yang betul.

KPISoft Sdn Bhd, pembangun aplikasi MySejahtera, membenarkan kerajaan selama setahun menggunakan aplikasi itu secara percuma dan kemudian mula mengenakan bayaran mulai April 2021 dan seterusnya.

KPISoft kemudiannya dinamakan semula sebagai Entomo Sdn Bhd.

Dalam laporannya, PAC berkata, tiada sebarang minit ataupun dokumen sokongan yang wujud berkenaan dengan pelantikan tersebut.

“Pelantikan KPISoft Sdn Bhd sebagai pemaju aplikasi MySejahtera pada Mac 2020 adalah tidak teratur dan tidak selaras dengan prosedur perolehan awam.

“Tiada minit atau dokumen sokongan mengenai pelantikan itu. Satu-satunya dokumen adalah NDA yang ditandatangani antara MKN (bagi pihak kerajaan) dengan KPISoft,” petik laporan itu.

Menurut laporan PAC, kerajaan keliru dari segi pelantikan KPISoft, konsep CSR, dan pemilikan MySejahtera.

PAC juga tidak menemui sebarang dokumen yang menunjukkan tempoh masa setahun yang ditetapkan oleh KPISoft.

“Justeru, kerajaan harus mengkaji semula kewajaran pemberian kontrak secara rundingan terus.

“Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) harus mengambil alih keseluruhan permohonan itu,” saran PAC.

Ia juga membuat kesimpulan bahawa aplikasi itu dimiliki oleh MYSJ Sdn Bhd, sebuah syarikat yang ditubuhkan pada September 2020 untuk menjalankan platform itu walaupun Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mendakwa ia dimiliki oleh kerajaan.

“Kerajaan masih belum mendaftarkan harta intelek (IP) untuk permohonan MySejahtera di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) setakat April 2022,” kata laporan PAC.

Selain itu, PAC juga mendapati harga siling sebanyak RM196 juta untuk perolehan MySejahtera selama dua tahun adalah tinggi dan bercanggah dengan konsep syarikat Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Dapatan itu adalah dua daripada lapan rumusan PAC hasil daripada dua prosiding yang dijalankan pada 14 April dan 21 April 2022. Selain Khairy, turut dipanggil dalam prosiding PAC adalah Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Terdahulu, pihak kerajaan sebelum ini telah memberikan jaminan bahawa data dalam aplikasi MySejahtera adalah selamat dan tidak akan disalah guna.

[Baca berita penuh]