Sebarang pindaan yang diluluskan atau perkara yang dibahaskan pada sesi sidang Dewan Rakyat kali ini tidak akan disia-siakan begitu sahaja, dan ia boleh diteruskan ke peringkat seterusnya, meskipun parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.

Mengulas kenyataan Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) berhubung kebimbangan pindaan rang undang-undang pada sesi kali ini, Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) menjelaskan pindaan tersebut akan dibahaskan ke peringkat Dewan Negara, meskipun terdapat kerajaan baru yang mentadbir selepas pilihan raya umum (PRU) ke-15.

“Ia tak membazir sebab apa kita bahaskan sekarang, walaupun diputuskan hari ini oleh Dewan Rakyat, bahawa kita sokong Dewan Negara akan bincang dalam mesyuarat akan datang,” katanya ketika membahaskan RUU Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022.

Terdahulu, Mahfuz mencelah untuk bertanya sama ada Nazri bersetuju bahawa tempoh membahaskan RUU tersebut seperti sia-sia kerana ia dianggap proses ’sekerat jalan’ sekiranya parlimen dibubarkan sebelum ia dibawa ke Dewan Negara dan seterusnya dikuatkuasakan.

“(Di) Parlimen apa yang telah dibahaskan akan diteruskan walaupun sekerat jalan, kita putuskan di Dewan Rakyat, kemudian kita bawa ke dewan kalau ada pilihan raya, ia akan dibawa ke Dewan Negara pada parlimen akan datang.

“Mana tahu pada akan datang yang berhormat akan jadi kerajaan… sepatutnya sokonglah bukan bangkang kalau nak ada pilihan raya ni,” kata Nazri.

Bagaimanapun, Mahfuz tidak berpuas hati dengan jawapan daripada Nazri dan terus mempertikaikan dakwaan pembubaran parlimen yang dijangka akan diumumkan dua hari lagi.

“Saya sokong pindaan akta ni tapi sepatutnya ia diselesaikan dalam sidang ni sampai habis supaya ia dapat dilaksanakan segera. Kita tak boleh tunggu-tunggu,” kata Mahfuz yang juga bekas timbalan menteri sumber manusia.

Spekulasi pembubaran parlimen itu bertiup kencang awal hari ini, terutamanya apabila Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dilapor mengadakan perjumpaan khas bersama 191 bahagian Umno hari ini.

Terdahulu hari ini, Mahfuz menjangkakan pembentangan bajet yang dijadualkan pada Jumaat ini kemungkinan besar tidak diadakan kerana pembubaran parlimen.