Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Belanjawan Pahang 2023: Belum ada apa-apa perubahan - MB

Belanjawan 2023 Pahang tetap akan dibentangkan di persidangan dewan undangan negeri (DUN) pada Jumaat ini, kata Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.

"Belanjawan akan diteruskan pada 7 Okt ini... belum ada apa-apa (perubahan setakat ini)," katanya ringkas semasa ditemui pemberita pada pembukaan semula laluan FT008 Jalan Bentong-Gua Musang di Bentong hari ini.

Dia berkata demikian semasa ditanya sama ada pembentangan belanjawan negeri akan tetap diteruskan atau tidak dengan mengambil kira spekulasi kemungkinan pembubaran parlimen akan berlaku dalam masa terdekat.

Ketika ditanya sama ada pembubaran DUN Pahang akan dibuat serentak dengan pembubaran parlimen, Wan Rosdy berkata, perkara itu belum dibincangkan.

Mengulas mengenai pembukaan semula jalan itu, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri berterima kasih kepada Persekutuan yang memperuntukkan RM5 juta untuk kerja baik pulih selepas berlaku runtuhan cerun dan jalan di kawasan itu sejak Nov 2021.

"Pembukaan jalan ini memudahkan penduduk terutamanya mereka yang berulang-alik dari Bentong ke Raub yang terpaksa melalui perjalanan jauh menggunakan laluan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) sejak jalan ini ditutup," katanya.

Kerja-kerja baik pulih jalan berhampiran kilang Lee Rubber Co (Pte) Ltd itu bermula pada 20 Jan lepas namun terpaksa ditangguhkan sementara selepas berlaku runtuhan tanah akibat hujan lebat pada 18 Mac lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS