Hasil kerajaan diunjur susut 4.4 peratus pada 2023
Hasil kerajaan Persekutuan pada 2023 diunjur menyusut 4.4 peratus kepada RM272.6 bilion atau 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berikutan jangkaan pengurangan kutipan hasil bukan cukai.
Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2023 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, hasil bukan cukai dianggarkan berjumlah RM67 bilion, merosot 23 peratus berbanding 2022 disebabkan oleh jangkaan terimaan dividen daripada entiti kerajaan yang lebih rendah.
"Bagaimanapun, hasil cukai kekal sebagai penyumbang utama dan dijangka berkembang sederhana sebanyak 3.7 peratus kepada RM205.6 bilion selari dengan unjuran pemulihan ekonomi yang lebih perlahan," kata laporan itu.
Kutipan cukai langsung dianggar meningkat sebanyak 3.5 peratus kepada RM152.4 bilion iaitu 74.1 peratus daripada hasil cukai yang mana sebahagian besar daripada kenaikan ini disumbangkan oleh kutipan cukai pendapatan syarikat (CITA) dan cukai pendapatan individu yang lebih baik.
"Peningkatan kutipan CITA dianggar sebanyak RM88.9 bilion sejajar dengan prospek pendapatan korporat yang stabil serta kutipan Cukai Makmur pada 2023.
"Selain itu, cukai pendapatan individu diunjur berkembang sebanyak 9.8 peratus kepada RM33.6 bilion berikutan peningkatan upah yang stabil dan pasaran pekerjaan yang kukuh," katanya.
Di samping itu, hasil cukai langsung lain iaitu duti setem, cukai keuntungan harta tanah (CKHT) dan cukai lain dijangka mencatat sebanyak RM9.9 bilion selari dengan pertumbuhan berterusan subsektor kediaman, peningkatan penawaran rumah mampu milik dan inisiatif kerajaan menangani harta tanah tidak terjual.
Cukai tidak langsung pula dianggar meningkat sebanyak 4.3 peratus kepada RM53.2 bilion sejajar dengan pertumbuhan berterusan dalam penggunaan dan perdagangan.
Kutipan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) dijangka merekodkan RM32 bilion atau 1.8 peratus daripada KDNK dengan cukai jualan diunjur meningkat kepada RM16.3 bilion dan cukai perkhidmatan meningkat kepada RM15.7 bilion manakala duti eksais meningkat kepada RM12 bilion atau 0.7 peratus daripada KDNK.
Kutipan cukai perkhidmatan dijangka meningkat terutamanya daripada sektor pelancongan seiring dengan jangkaan peningkatan ketibaan pelancong pada 2023 disokong oleh pelaksanaan Rangka Kerja Pemulihan Pelancongan.
Jangkaan penurunan kutipan hasil bukan cukai pada 2023 adalah disebabkan oleh hasil pendapatan pelaburan yang lebih rendah terutamanya dividen daripada Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) sebanyak RM35 bilion.
Sebaliknya, kutipan lesen dan permit dijangka meningkat 3.4 peratus kepada RM13.8 bilion walaupun sumbangan royalti petroleum adalah lebih rendah. Peningkatan ini didorong terutamanya oleh kutipan lesen kenderaan bermotor dan levi pekerja asing.
Sementara itu, dividen Bank Negara Malaysia diunjur berjumlah sebanyak RM5 bilion manakala bayaran khas daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dijangka berjumlah RM3 bilion. Hasil berkaitan petroleum 2023 dijangka berjumlah RM58.9 bilion atau 21.6 peratus kepada jumlah hasil sejajar dengan andaian purata harga minyak mentah global lebih rendah iaitu US$90 setong.
Manakala hasil bukan petroleum pula diunjur meningkat sebanyak 3 peratus kepada RM213.7 bilion terutamanya disumbangkan oleh CITA, cukai pendapatan individu dan SST seiring dengan aktiviti perdagangan dan ekonomi yang berterusan.
Hasil bukan petroleum negara dijangka kekal berdaya tahan dengan mencatat sebanyak 11.8 peratus daripada KDNK.
"Kerajaan komited untuk mempercepat usaha melaksanakan Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS), merasionalisasikan insentif cukai, mempelbagaikan sumber hasil dan menambah baik pematuhan cukai bagi meningkatkan hasil.
“Pembaharuan fiskal yang telah dirancang termasuk penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal akan memastikan kemampanan fiskal dan hutang negara dalam jangka masa sederhana dan panjang.
"Pembaharuan tersebut akan meningkatkan penjanaan hasil dan membolehkan Kerajaan mencapai aspirasi menjadi negara berpendapatan tinggi," kata laporan itu.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/11/bc9c15a60075650c14ee2a2c6648d625.jpg)
