Bayaran khidmat hutang (DSC) bagi tahun 2023 dianggarkan berjumlah RM46.1 bilion atau 16.1 peratus daripada hasil, meningkat tujuh peratus berbanding RM43.1 bilion (15.1 peratus) yang dijangkakan untuk 2022 seiring dengan keperluan pembiayaan yang lebih tinggi untuk perbelanjaan pembangunan dan dana Covid-19.

Untuk tahun 2022, kos pembiayaan bagi terbitan hutang dalam negeri dijangka mencecah RM42.3 bilion manakala bagi pinjaman luar pesisir sebanyak RM0.8 bilion, demikian menurut Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2023 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MoF) hari ini.

“Pengukuhan dolar AS memberi kesan minimum kepada kos pembiayaan luar pesisir berikutan komposisi hutang dalam mata wang asing adalah kecil,” tambahnya.

Purata wajaran kadar hasil ke atas hutang dalam negeri sehingga akhir Jun 2022 kekal stabil pada 3.968 peratus (2021: 3.960 peratus) meskipun dalam persekitaran kadar faedah global yang tinggi.

Katanya komposisi instrumen berjangka panjang dengan baki tempoh matang melebihi 10 tahun meningkat kepada 32.6 peratus daripada jumlah hutang terkumpul sehingga akhir Jun 2022 (2021: 31.2 peratus).

Peningkatan ini sejajar dengan strategi pengurusan hutang untuk mengurangkan risiko pembiayaan semula dengan menyeimbangkan profil kematangan hutang.

Oleh itu, profil kematangan hutang pada 2022 dijangka kekal terurus dengan peningkatan purata wajaran tempoh matang kepada 9.1 tahun (2021: 8.7 tahun).

Pemegangan hutang kerajaan oleh institusi bank meningkat kepada 35.1 peratus

Pada akhir Jun 2022, pemegangan pemastautin mewakili 74.7 peratus daripada jumlah hutang Kerajaan Persekutuan manakala bukan pemastautin sebanyak 25.3 peratus.

Pemegangan pemastautin meningkat kepada RM780.2 bilion terutamanya terdiri daripada institusi kukuh dan berjangka panjang iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (24.1 peratus), syarikat insurans (4.6 peratus) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (2.9 peratus), kata laporan itu.

Sementara itu, pemegangan institusi perbankan meningkat kepada 35.1 peratus berikutan usaha Bank Negara Malaysia (BNM) menyediakan fleksibiliti sementara kepada institusi perbankan dengan mengambil kira langganan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dalam mematuhi nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR).

Laporan itu seterusnya menyatakan pemegangan pemastautin lain termasuk institusi kewangan pembangunan dengan pegangan 2.1 peratus dan lain-lain sebanyak 5.9 peratus.

Dalam pada itu, pemegangan bukan pemastautin berkurangan kepada RM264.8 bilion (2021: RM267.3 bilion).

Institusi jangka panjang seperti dana persaraan, syarikat insurans serta bank pusat dan kerajaan memegang bahagian terbesar iaitu 12.5 peratus daripada jumlah hutang Kerajaan Persekutuan manakala pengurus dana sebanyak 8.8 peratus.

Baki pemegangan bukan pemastautin disumbangkan oleh institusi perbankan sebanyak 3.4 peratus dan lain-lain 0.6 peratus.

Dalam hal ini, pemegangan bukan pemastautin dalam MGS dan MGII juga berkurangan kepada 45.7 peratus daripada jumlah terkumpul bagi dua instrumen tersebut (2021: 49.9 peratus) disebabkan oleh aliran keluar bersih asing berikutan normalisasi kadar faedah global yang agresif.

- Bernama