Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin mempersoalkan apakah Bajet 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam akan menjadi kenyataan selepas seminggu spekulasi bahawa parlimen akan dibubar dalam masa terdekat.

"Atau adakah Bajet 2023 hanyalah janji-janji manis yang BN hendak tayang kepada pengundi untuk pilihan raya umum akan datang," soal Chan dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz berkata kerajaan baru perlu membentangkan semula Bajet 2023 sekiranya pilihan raya umum diadakan.

Sementara itu, Chan berkata dia gembira melihat Bajet 2023 turut memasukkan cadangan daripada Pakatan Harapan (PH) dan langkah-langkah yang digariskan dalam dokumen belanjawan gabungan itu.

Sebagai contoh, katanya, pengurangan kadar cukai ke atas pendapatan bercukai bagi RM100,000 pertama daripada 17 peratus kepada 15 peratus adalah dialu-alukan.

Bajet itu katanya turut memasukkan saranan PH mengenai peningkatan jaminan kredit perumahan serta peruntukan yang disediakan untuk menambah baik perkhidmatan dan rangkaian bas di kawasan luar Lembah Klang.

Namun dia menyatakan bahawa peruntukan berkenaan jauh lebih rendah iaitu RM180 juta berbanding RM500 juta yang dicadangkan oleh PH.

Pada masa yang sama, Chan berkata adalah mendukacitakan apabila tiada langkah diambil untuk meningkatkan kapasiti perindustrian di Sabah dan Sarawak.

Katanya, PH telah mencadangkan insentif cukai pelaburan khusus bernilai RM1 bilion dan geran untuk penempatan semula semua jenis industri, khususnya sektor pembuatan, ke Sabah dan Sarawak.

“Ini adalah untuk meningkatkan KDNK, guna tenaga dan produktiviti Sabah dan Sarawak, dan mengurangkan penghijrahan buruh dari negeri tersebut,” katanya.

Tambahnya, turut tidak disebut ialah Akta Perolehan Kerajaan (GPA), penubuhan Pejabat Belanjawan Parlimen melalui Akta Perkhidmatan Parlimen dan langkah-langkah untuk memudahkan pengundi di pedalaman Sabah dan Sarawak keluar mengundi.

“Penggubalan GPA amat penting untuk memastikan kita tidak melihat satu lagi skandal mega dalam masa terdekat seperti 1MDB, kapal tempur pesisir (LCS) dan skandal SRC,” kata Chan.