Maria Chin harap dapat pertahankan kerusi PJ
Maria Chin Abdullah berharap PKR membenarkannya untuk mempertahankan kerusi parlimen Petaling Jaya yang disandangnya itu.
Bercakap kepada Malaysiakini, Chin berkata deia bagaimanapun reda menerima sebarang keputusan parti.
"Ya, sudah tentu saya mahu mempertahankan kerusi saya," katanya.
"Ini terpulang kepada parti, dan saya percaya keputusan akan dibuat (tidak lama lagi)."
Chin mencipta namanya sebagai pemimpin masyarakat sivil sebelum politik. Pada 2018, dia bertanding atas tiket PKR untuk kerusi Petaling Jaya dan menang dengan selesa.

Dia kemudiannya menyertai PKR tetapi tidak terbabit secara aktif dalam politik kepartian.
Chin tidak memegang sebarang jawatan dalam PKR bahagian Petaling Jaya, yang diketuai oleh Hee Loy Sian.
Memandangkan dia tidak mempunyai sokongan akar umbi dalam bahagian PKR Petaling Jaya, pemerhati berpendapat bahawa peluangnya untuk dikekalkan adalah tipis.
Chin, 65, berkata dia juga rela menerima pencalonan untuk kerusi lain.
“Saya rasa semua orang menyatakan hasrat (untuk bertanding).
"Kita semua ahli parti, jadi kita serahkan kepada parti untuk membuat keputusan yang bijak," katanya.
Chin ialah pengerusi ketiga Bersih, sebuah gabungan kumpulan masyarakat sivil yang menuntut pembaharuan pilihan raya.
Dia pernah ditahan tanpa bicara bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 pada malam perhimpunan Bersih 5 pada 2016.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/1af19ec8bbe0bf50af10cce19a18e933.jpg)
