Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bebaskan Najib? BN tak akan 'campur urusan kehakiman' - Asyraf

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata BN tidak akan “mencampuri urusan kehakiman” seperti dilakukan PH sekiranya berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Asyraf memetik pembebasan ketua pembangkang Anwar Ibrahim pada 2018 selepas PH mengambil alih kerajaan sebagai contoh.

Asyraf berkata demikian selepas diminta mengulas dakwaan Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad bahawa BN akan membebaskan bekas perdana menteri, Najib Razak jika mereka kembali berkuasa.

"Saya fikir perkara itu tidak pernah dibincangkan di peringkat parti.

"Dan kami tidak akan ulangi apa yang PH lakukan bila mereka menjadi kerajaan.

"Kita dapat lihat bagaimana terlibat dan mencampuri urusan kehakiman," katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, Mahathir mendakwa Umno akan sekali lagi memberi sogokan untuk memenangi PRU15 seterusnya memberi pengampunan kepada Najib.

Penyandang kerusi parlimen Langkawi itu berkata, untuk merealisasikan perkara itu, Umno perlu memberi sogokan yang banyak kepada pengundi.

Pada 2018, setelah PH memenangi pilihan raya, Mahathir yang merupakan perdana menteri ketika itu mengotakan janjinya dengan mengaturkan pengampunan diraja kepada Anwar atas tuduhan meliwat.

Pada 2 Sept, Najib, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun berhubung kes SRC International, memfailkan pengampunan diraja bagi sabitan ke atasnya.

Dalam pada itu, Asyraf berkata BN memberi fokus kepada usaha untuk memenangi hati rakyat melalui tawaran manifesto yang berkesan untuk rakyat.

"Umno, BN kami sentiasa akur pada undang-undang dan menghormati perlembagaan.

"Dan apa yang lebih penting kami fokus kepada pilihan raya ini untuk membela rakyat," katanya.

Lihat Komen
ADS