Isu pekerja asing: Kalau tak tahu tolong tanya - Saravanan sindir Rafizi
Isu pekerja asing terus menjadi perdebatan di antara Menteri Sumber Manusia M Saravanan dan pemimpin pembangkang.
Dalam perkembangan terbaru, Saravanan membidas Rafizi sebagai seorang yang tidak profesional dan “mengikut telunjuk DAP”.
"Rafizi Oh Rafizi, susah orang ini. Kebetulannya isu pekerja asing ini sudah lama selesai.. kalau tak tahu isu sebenar tolong tanyalah. Saya tahu Rafizi ini pandai sangat.
"Perkara ini tak payahlah buat ceramah politik. Macam tak ada modal lain pula. Tapi, apabila Lim Guan Eng dari DAP kata isu pekerja asing belum selesai, Rafizi pula terikut apa yang diutarakan oleh pengerusi DAP itu.
"Ini yang saya katakan sebelum ini kalau undi PKR bererti DAP akan 'control' berkuasa," katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan Program Penyelia Penginapan dan Kemudahan Pekerja di Damansara hari ini.
Terdahulu, dia ditanya mengenai kenyataan Rafizi baru-baru ini yang mendakwa bahawa Saravanan gagal sebagai menteri dalam menyelesaikan isu kekurangan pekerja asing di Jelajah Trak Ayuh Malaysia di Tapah pada Ahad yang lalu.
Saravanan juga mengkritik Rafizi sebagai seorang yang “ajaib” yang hanya muncul pada musim pilihan raya sahaja.
"Saya marah dia kerana dia ini insan ajaib sebab muncul musim pilihan raya sahaja.
"Semasa Covid-19 dia tak muncul beri idea-idea yang bernas.Tetapi, sekarang Guan Eng kata isu pekerja asing tak selesai dia pula terikut sama," katanya.
Saravanan sebelum ini, mengadakan satu sesi taklimat khas pada 5 Okt di pejabat menteri di Putrajaya berhubung dakwaan kekurangan isu pekerja asing.
Sesi tersebut dihadiri Guan Eng, dan dua lagi pemimpin DAP Ngeh Khoo Ham dan M Kulasegaran.
Ini susulan kritikan Lim terhadap menteri sumber manusia berhubung kekurangan pekerja di negara ini sejak beberapa minggu lalu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/10/6492861fb5fbbf4b9c505a0d04ab87c4.jpg)
