Saya tak bersemuka Najib bagi urusan akaun bank - saksi
KES 1MDB | Bekas jurubank Najib Razak, Joanna Yu memberi keterangan bahawa dia tidak pernah berurusan secara langsung dengan perdana menteri ketika itu berhubung akaunnya.
Bekas pengurus perhubungan dengan AmBank itu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa dia hanya berurusan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) berhubung akaun bekas menteri kewangan itu.
Semasa perbicaraan rasuah RM2.28 bilion 1MDB terhadap Najib petang tadi, Yu yang merupakan saksi pendakwaan ke-41 merujuk ketika Najib membuka akaun dengan bank komersial itu pada awal 2011, iaitu akaun semasa berakhir digit 694 dan akaun simpanan berakhir digit 481.
Pihak pendakwaan berhujah bahawa akaun 694 itu digunakan dalam penyelewengan dana daripada 1MDB.
“Berhubung dengan pembukaan akaun-akaun ini, saya tidak berurusan secara langsung atau berjumpa dengan Najib sendiri.
“Untuk semua perkara berkaitan akaun Dato Sri (Najib), saya berurusan dengan Jho Low, yang memberitahu saya bahawa Dato' Sri Najib mahu membuka akaun peribadi dengan bank, dan kemudian saya berurusan dengan Nik Faisal Ariff Kamil selepas menerima surat mandat daripada Dato' Sri Najib menyenaraikan Nik Faisal sebagai wakil Dato' Sri Najib dengan bank berkenaan akaun bank peribadinya,” kata Yu kepada hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah.
Nik Faisal adalah ketua pegawai pelaburan 1MDB, yang dijelaskan pada surat daripada Najib sebagai pemegang mandat ke atas akaun ahli parlimen Pekan itu.

Yu berkata pada 2011, Jho Low memberitahu bahawa Najib berminat untuk membuka akaun, dan pengarah urusan AmBank ketika itu Cheah Tek Kuang harus bertemu Najib untuk tujuan itu.
Dia berkata bahawa dia mendapatkan borang itu dan memberikannya kepada Cheah yang kemudiannya pergi menemui Najib untuk mendapatkan tandatangan perdana menteri ketika itu.
Yu memberi keterangan bahawa selepas Cheah mendapatkan tandatangan dan menyerahkan dokumen itu kepada Najib, dia mengajukannya ke cawangan bank di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur, untuk diproses.
Saksi itu menambah bahawa Jho Low yang memintanya memastikan akaun 694 Najib diklasifikasikan sebagai sulit, yang mana tidak mudah untuk mendedahkan nama pemegang akaun kepada sesiapa yang mempunyai akses kepada sistem akaun di bank.
Yu menjelaskan selepas perbincangan dengan bahagian operasi bank, nama kod 'AmPrivate Banking-MR' dipilih sebagai nama kod untuk akaun 694.
Dalam prosiding sebelum ini, Cheah memberi keterangan bahawa semasa pertemuan dengan Najib, tertuduh didakwa memberitahunya bahawa dia mahu membuka akaun 694 untuk menerima derma daripada Arab.
Perbicaraan di hadapan Sequerah akan disambung semula pada 7 Nov.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/07/bcec871594b01a984a5ab4f80c598229.jpg)
