Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Fu Ah Kiow berkata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang kini mengadakan lawatan rasmi ke luar negara, telahpun dimaklumkan mengenai dakwaan terhadap Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Seri Zulkipli Mat Noor.

Fu berkata, kementeriannya telah dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan serta Jabatan Peguam Negara.

Katanya, keputusan menggantung atau melucutkan jawatan Zulkipli kini bergantung kepada siasatan dan keputusan Jabatan Peguam Negara.

Menurut laporan Bernama, Fu berkata, apa jua keputusan terhadap kedudukan Zulkipli terletak di tangan Perdana Menteri, yang bertanggungjawab terhadap agensi itu.

"Perdana Menteri telah dimaklumkan perkara ini dan beliau memandang serius terhadapnya," kata Fu.

Dakwaan terhadap Zulkipli itu terkandung dalam satu laporan oleh bekas pegawai kanan BPR kepada Ketua Polis Negara sebelum ini, Tan Sri Bakri Omar, yang didedahkan Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak).

Laporan itu dibuat oleh Mohamad Ramli Manan, yang bersara pada 8 Disember lalu, yang mendakwa Zulkipli memiliki harta yang tidak sepadan dengan sumber pendapatannya.

Zulkipli didakwa memiliki beberapa kepentingan dalam pelbagai perniagaan dan hartanah termasuk enam buah rumah di Pagoh, Johor dan menyalahgunakan kenderaan kerajaan.

Beliau pernah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 20 tahun dan menjadi Ketua Polis Johor pada 1996 sebelum dilantik menjadi Pesuruhjaya Polis Sarawak pada 2000.

Beliau mula memegang jawatan Ketua Pengarah BPR pada 2001 dan perkhidmatannya disambung secara pinjaman sebanyak tiga kali.

Terdahulu ketika bercakap kepada pemberita di Seremban, Musa berkata polis juga akan membuka kertas siasatan untuk menentukan sama ada Zulkipli membuat pengisytiharan terhadap hartanya dan terbabit dalam perniagaan.