'Kemerosotan nilai ringgit tanda kegagalan kerajaan BN-PN'
Pemimpin Amanah mengkritik kemampuan kerajaan BN dan PN susulan kemerosotan nilai ringgit ke paras paling teruk dalam sejarah.
Ahli Jawatankuasa Amanah Faiz Fadzil berkata lebih membimbangkan ringgit merosot berbanding dua mata wang milik rakan dagang terbesar negara, iaitu Amerika Syarikat (AS) dan Singapura.
"Malangnya, kerajaan BN dan PN langsung tidak ada dasar atau mekanisme mengurangkan impak kejatuhan ringgit ke atas perbelanjaan rakyat dan kos perniagaan.
"Pada 14 Oktober 2022, ringgit mencecah RM4.70 berbanding dolar AS. Ini rekod terburuk negara. Ringgit juga jatuh ke RM3.30 berbanding dolar Singapura, iaitu paras paling teruk setakat ini.

"Ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dahulu, ringgit kebiasaannya berada antara RM3.94 hingga RM4.20 berbanding dolar AS. Ini antara sebab utama mengapa paras inflasi ketika pemerintahan PH adalah antara yang terendah dalam sejarah iaitu 0.2 peratus. Berbanding di zaman BN PN, inflasi makanan melonjak teruk ke paras 7.2 peratusyang menyebabkan inflasi negara sekarang mencecah kadar 4.7 peratus," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurut Faiz lagi, kesan kejatuhan ringgit ini cukup parah kepada ekonomi negara dan rakyat pula turut akan terhimpit teruk memandangkan 60 peratus makanan Malaysia diimport dari luar dan kos import makanan setakat 2021 mencecah RM64 bilion.
Kesannya kata anggota dewan undangan negeri (Adun) permatang Pasir itu, harga barang makanan akan terus naik dan ini menekan ekonomi rakyat termasuk golongan B40 dan M40.
"Gula-gula yang diumumkan dalam belanjawan 2023 baru-baru ini tidak mampu meringankan beban rakyat terutama golongan miskin bandar.
"Kerajaan BN dan PN ibarat burung kakak tua terhadap respon kejatuhan ringgit. Hanya mengulangi alasan sama dengan menyalahkan faktor pasaran atas kejatuhan ringgit. Bukan sahaja enggan menjalankan kawalan modal, malah tiada juga dasar alternatif untuk mengurangkan impak kejatuhan ringgit.

"Sepatutnya, diumumkan pemberian subsidi sementara dan bersasar untuk import bahan asas seperti makanan dan sesetengah bahan input perniagaan, pemberian pinjaman modal kerja berkadar tanpa faedah atau faedahrendah untuk perusahaan kecil sederhana yang mengimport, meliberalisasi dasar import untuk mengurangkan kos atau mencari negara import alternatif menerusi intervensi segera kerajaan," jelasnya.
Tambahnya, pembubaran Parlimen kononnya bagi membentuk kerajaan stabil gagal mendorong kenaikan pasaran ringgit dan ia satu tindakan Umno yang sia-sia.
"Jika BN dan PN dipilih sekali lagi dalam PRU ke-15, punahlah masa depan negara. Kalau Najib Razak (bekas perdana menteri) merosakkan negara dengan 'mencuri' duit rakyat, pemimpin BN dan PN terutama Umno pula merosakkan ekonomi kerana pengurusan yang tidak cekap.
"Berikutan kegagalan kerajaan BN dan PN ini, rakyat harus menilai kemampuan mereka dalam membuat pilihan kali ini. Masa depan negara lima tahun ini tidak harus diletakkan kepada mereka yang gagal dan korup.
"PRU ke-15 ini adalah penentu masa depan kita. Rekod pemerintahan PH adalah sandaran rakyat bagi menyelesaikan isu ringgit dan inflasi negara yang mencanak," ujar Faiz.
/file/1104/23fe1a7e0bfebbf2071a1252a583e38a.jpeg)
