Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq kena kecam kerana cadang cuti Deepavali dua hari 
Diterbitkan:  Oct 18, 2022 12:47 PM
Dikemaskini: 5:04 AM

Cadangan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya cuti Deepavali dipanjangkan daripada sehari kepada dua hari mengundang kecaman pengguna maya.

Walaupun ada yang menyokong presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu, namun lebih banyak kecaman yang diterimanya.

Mereka antaranya mempersoalkan kenapa dia tidak membangkitkan perkara itu ketika menjadi menteri di era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dari 2018 hingga 2020.

Penyandang ahli parlimen Muar pada Ahad lalu, berkongsi tangkap layar mesej yang dihantar kepadanya oleh seorang pelajar yang mengeluh tentang cuti sehari sambutan Deepavali, yang jatuh pada Isnin depan (24 Okt).

Dalam mesej itu, pelajar universiti awam itu mengadu tidak dapat menyambut perayaan bersama keluarga kerana cuti singkat, dan  pada keesokan harinya dijadualkan berkuliah.

Pelajar itu berharap ketua pemuda menyuarakan perkara itu supaya tindakan yang sewajarnya dapat diambil.

Berkongsi mesej itu, Syed Saddiq berkata bahawa ramai pelajar menghubunginya dan menyuarakan kebimbangan yang sama.

"Rehat pada hari Isnin, dan perlu menyambung kelas pada hari berikutnya.

"Saya nak cadangkan kepada 'Keluarga Malaysia' (kerajaan sekarang) supaya dilanjutkan lagi. Biarlah (hari cuti) sama dengan Hari Raya dan Tahun Baru Cina. Kasihan mereka," merujuk kepada masyarakat India.

Netizen bertindak balas terhadap ciapan itu dengan sama ada bersetuju atau mengecam ahli politik muda itu.

Kebanyakan pengkritiknya mendakwa Syed Saddiq mengambil kesempatan dalam isu itu sekarang memandangkan pilihan raya umum ke-15 semakin hampir.

Terdapat juga netizen yang menyatakan bahawa cuti Deepavali sehari telah wujud selama bertahun-tahun, merentasi banyak pentadbiran, dan tidak pernah menjadi isu.

Ada juga yang mencadangkan supaya pelajar ponteng kuliah dan mendapatkan nota daripada rakan-rakan sekelas kemudiannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS