Kesatuan mahu bawa krisis DBP ke mahkamah
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) mendakwa berlaku krisis antara kesatuan sekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan pihak pentadbiran DBP yang boleh menggugatkan fungsinya untuk mendaulat bahasa kebangsaan di negara ini.
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) mendakwa berlaku krisis antara kesatuan sekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan pihak pentadbiran DBP yang boleh menggugatkan fungsinya untuk mendaulat bahasa kebangsaan di negara ini.
Ketuanya, Salahuddin Ayub juga mendakwa, krisis tersebut berlaku kerana adanya campurtangan kerajaan dalam DBP untuk kepentingan peribadi.
Malaysiakini difahamkan, krisis itu tercetus apabila Kesatuan Pekerja DBP membantah pelantikan Timbalan Ketua Pengarah yang baru, Kamarulzaman Shaharudin kerana ia mendakwa dia dibuat tanpa mengikuti kekananan jawatan.
Ekoran itu, ahli kesatuan tersebut telah mengadakan piket secara aman di kawasan Bangunan DBP di ibu negara baru-baru ini bagi membantah pelantikan Kamarulzaman sebagai timbalan ketua pengarah yang baru.
Difahamkan, kesatuan itu membantah pelantikan Kamarulzaman kerana beliau bukan daripada kumpulan teras, iaitu Kumpulan S yang dianggap sebagai kumpulan peneraja di DBP.
Sedangkan Kamarulzaman adalah daripada Kumpulan N yang bukan merupakan kumpulan teras yang menurut kesatuan itu sepatutnya dilantik memegang jawatan tertinggi di DBP ketua pengarah dan timbalan ketua pengarah.
Sementara itu, Yang Dipertua Kesatuan Pekerja DBP, Hasni Abas ketika dihubungi malaysiakini berkata isu pelantikan Kamarulzaman akan dibawa ke mahkamah jika tidak dapat diselesaikan secara dalaman.
Bawa ke mahkamah?
Katanya, keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat kesatuan pada 22 Februari lalu kerana pihak kesatuan berkenaan tidak nampak penyelesaian bolehdicapai melalui kaedah lain
"Kita tidak dapat menerima keputusan ini kerana ia membabitkan soal perundangan dan akta yang kami gunakan selama ini untuk melantik seseorang bagi mengisi jawatan-jawatan tertentu.
"Kita perlu memastikan bahawa amalan pelantikan kepimpinan ini berjalan dengan baik berasaskan undang-undang DBP. Jika tidak, hal ini akan berterusan dan diamalkan sebagai suatu budaya pula," katanya.
Katanya, kesatuan telah telah menerima surat daripada pihak pengurusan mengenai pelantikan Kamarulzaman dan meminta pekerja menerimanya dan bekerja seperti biasa.
Bagaimanapun, katanya, pihak kesatuan tetap bertegas kerana tidak mahu, pada masa akan datang, kenaikan pangkat seseorang dibuat berasaskan perasaan suka atau tidak suka oleh seseorang individu ke atas individu lain, tanpa mempedulikan kelayakan akademik mereka.
Sementara itu, Salahuddin berkata, Menteri Pelajaran, Datuk Hishamuddin Tun Husein perlu mengambil langkah segera menghentikan kemelut dalam DBP itu.
"
Ramai lagi tokoh dan pejuang bahasa yang boleh dilantik untuk menerajui DBP," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang PAS Kubang Kerian.

