Bekas Ketua Badan Pencegah Rasuah (BPR) Sabah, Mohamad Ramli Manan telah menghantar surat peguam kepada The Star hari ini menuntut permohonan maaf daripada akhbar tersebut kerana menyiarkan berita yang didakwa berunsur fitnah terhadapnya.

Laporan dalam akhbar tersebut yang memetik pegawai yang tidak disebut namanya berkata Ramli telah disiasat di peringkat jabatan kerana tidak datang kerja tanpa cuti rasmi sebelum persaraannya.

"Saya telah menghantar surat peguam kepada The Star menuntut permohonan maaf. Laporan tersebut berunsur fitnah. Saya tidak pernah disiasat, ini berniat jahat," kata Ramli kepada malaysiakini.

Surat dua halaman itu dihantar melalui firma guaman Munjeet Singh & Co yang berpejabat di Seremban. Ketika dihubungi, firma guaman itu mengesahkan surat tersebut dihantar pagi tadi.

Ramli menjadi tumpuan apabila laporannya kepada Ketua Polis Negara sebelum ini, Tan Sri Mohd Bakri Omar, yang mengandungi dakwaan rasuah hingga kepada jenayah seksual terhadap Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Seri Zulkipli Mat Noor, didedahkan oleh Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) 26 Februari lalu.

Dalam laporan tersebut, Ramli juga mendakwa Zulkipli memiliki harta yang tidak sepadan dengan sumber pendapatannya.

Zulkipli didakwa memiliki beberapa kepentingan dalam pelbagai perniagaan dan hartanah termasuk enam buah rumah di Pagoh, Johor dan menyalahgunakan kenderaan kerajaan.

Beliau pernah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 20 tahun dan menjadi Ketua Polis Johor pada 1996 sebelum dilantik menjadi Pesuruhjaya Polis Sarawak pada 2000.

'Cemar reputasi'

Beliau mula memegang jawatan Ketua Pengarah BPR pada 2001 dan perkhidmatannya disambung secara pinjaman sebanyak tiga kali.

Sementara itu, Ramli berkata ada percubaan untuk mencemarkan reputasnya dan menyukarkan hidupnya.

Akhbar The Star melaporkan kes Ramli telah dirujuk kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan menambah, Ramli tidak akan mendapatkan bayaran pencen sehingga keputusan dibuat oleh suruhanjaya berkenaan. Ramli bersara pada 8 Disember lalu.

Laporan tersebut juga memetik sumber-sumber lain yang berkata Ramli telah ditukar dari Sabah ke ibupejabat di Putrajaya sebelum persaraannya tetapi hanya diberi tugasan pentadbiran.

Sementara itu, Ramli berkata beliau tidak mempunyai sebarang masalah peribadi dengan Zulkipli.

"Saya tidak kenal beliau. Saya hanya menemui beliau secara berdepan selama 15 minit dalam satu kunjungan hormat sewaktu beliau dilantik sebagai ketua pengarah BPR pada 2001," katanya.

Ramli mengulangi bahawa beliau mendedahkan dakwaan terhadap Zulkifli itu sebagai menjalankan tugasnya sebagai seorang rakyat yang setia dan selaku pegawai BPR yang bertanggungjawab.

Ramli dan Zulkipli telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada Setiausaha Pilihan Khas Parlimen Mengenai Integrasi pada 12 Ma depan.

Sebelum ini, Zulkipli menafikan dakwaan itu sebagai "tidak berasas" manakala Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata siasatan berhubung dakwaan jenayah seksual telah dijalankan terhadap Zulkipli pada 1997 tetapi didapati tiada kes terhadapnya.

Usaha untuk menghubungi Ketua Pengarang Kumpulan the Star, Michael Aeria untuk mendapatkan komennya tidak berhasil.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Abdul Ghani telah mengadakan pertemuan selama tiga jam berhubung isu tersebut. Berita asal