Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen memberi gambaran bahawa tidak semua penyandang kerusi parlimen DAP di negeri itu akan mempertahankan kerusi mereka pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Dia memberi gambaran bahawa penyandang yang tidak berkhidmat dengan secukupnya di kawasan mereka boleh digugurkan sebagai calon.

Chong bagaimanapun tidak menyebut sebarang nama.

“Sebagai calon, syarat asas ialah anda perlu berkhidmat kepada rakyat bukan sahaja dalam tempoh pilihan raya tetapi sebelum pilihan raya.

“Dengan melihat mereka yang aktif di lapangan berkhidmat kepada rakyat, anda boleh tahu secara kasar siapa calon itu,” katanya, seperti dilaporkan The Borneo Post hari ini.

Penyandang parlimen Stampin itu berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada dia akan mempertahankan kerusinya pada PRU15.

Tambahnya, DAP tidak mempunyai masalah untuk mencari calon berpotensi.

Selain Chong, ahli parlimen DAP lain di Sarawak ialah Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching), Alice Lau (Lanang), Oscar Ling (Sibu), Wong Ling Biu (Sarikei), dan Mordi Bimol (Mas Gading).

Chong berkata DAP juga akan meletakkan calon di dua lagi kerusi pada PRU15, iaitu Serian dan Bintulu.

"Sebelum ini, ada kerusi Kapit tetapi ahli akar umbi kita di sana merasakan PKR mempunyai calon yang lebih baik, jadi kita biarkan mereka bertanding," katanya.

Chong juga berkata mereka telah memaklumkan kepada semua calon DAP Sarawak mengenai pemilihan mereka sebelum [arlimen dibubarkan pada 10 Okt.

Selepas itu, katanya, pengumuman calon yang dimuktamadkan akan diadakan di Sibu pada 22 Okt dan di Kuching pada 23 Okt.

Sementara itu, Chong berkata kerjasama DAP dengan rakan parti komponen Pakatan Harapan, iaitu PKR dan Amanah di Sarawak kekal kukuh dan mereka telah menyelesaikan rundingan kerusi.

PKR akan bertanding kira-kira 18 kerusi, DAP di lapan kerusi yang dinyatakan sebelum ini manakala Amanah akan meletakkan calon di kawasan selebihnya di Sarawak.