Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BN sasar menang 10 kerusi parlimen di Kedah
Diterbitkan:  Oct 19, 2022 8:52 PM
Dikemaskini: 12:52 PM

Barisan Nasional (BN) menyasarkan untuk menang sekurang-kurangnya 10 daripda 15 kerusi Parlimen di Kedah, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini, kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata BN akan mewujudkan pasukan khas untuk 10 kawasan Parlimen itu, bagi memastikan sasaran untuk memenangi kerusi Parlimen itu boleh dicapai.

“Kita telah memenangi dua kerusi Parlimen di Kedah (pada PRU14) iaitu Baling dan Padang Terap, ertinya kita menyasarkan lapan lagi.

"Kita merasakan bahawa pilihan raya kali ini bukan sahaja ibu kepada semua pilihan raya umum', tetapi jatuh bangun BN, khususnya Umno di negeri Kedah ini bergantung kepada kerja keras semua pihak.

“Saya telah berpesan tadi bahawa kita tidak mempunyai cukup waktu dan dalam masa singkat ini kita harus menggerakkan seluruh jentera kita ke arah untuk kekalkan dan dapatkan semula kerusi-kerusi yang tidak berada di tangan kita,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama BN Kedah di Bandar Baharu hari ini.

Ditanya sama ada sasaran itu mampu dicapai memandangkan BN sebelum ini hanya menang dua kerusi Parlimen, Ahmad Zahid berkata ia bukan sasaran yang berlebih-lebih tetapi merupakan cita-cita yang amat wajar.

“Kita tahu pada PRU14 telah berlaku tsunami politik dan landskap itu telah berubah, saya tidak lihat sasaran itu berlebih-lebih, lebih baik kita bercita-cita untuk sampai ke puncak gunung daripada kita bercita-cita, untuk berada di kaki gunung.

“Kalau kita bercita-cita ke puncak gunung sekurang-kurangnya kita akan sampai ke pertengahan gunung, maka saya yakin dengan jentera dan kepimpinan BN Kedah, maka apa yang kita cita-citakan itu tidak hanya tinggal cita-cita," katanya.

Sasaran termasuk Langkawi

Ahmad Zahid berkata sasaran kerusi menang itu meliputi kawasan yang sebelum ini disandang nama besar atau personaliti tertentu termasuk Langkawi iaitu kerusi Parlimen bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pada itu, beliau berkata BN akan memberi fokus kepada pengundi pertama kali dan pengundi muda, untuk membantu parti itu mencapai kemenangan pada PRU akan datang.

Ia berikutan peranan golongan pengundi itu yang telah mewujudkan satu gelombang sokongan kepada calon BN, seperti yang ditunjukkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini.

“Apa yang kita lihat dalam PRN Johor umpamanya pengundi muda dan pengundi pertama kali, lebih 70 peratus memberikan undi kepada calon-calon BN, di (PRN) Melaka (sebelum itu) kita tidak dapat melihat keadaan itu kerana belum ada senarai pengundi pertama kali,” katanya.

Terdahulu Ahmad Zahid turut menghadiri Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran yang diadakan di Dataran Seri Serdang di Bandar Baharu yang disertai kepimpinan BN termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

- Bernama

Lihat Komen
ADS