Naib Presiden DAP  Nga Kor Ming menyifatkan tindakan menyamakan parti itu dan komunis sebagai fitnah oleh “iblis dan syaitan” setiap kali musim pilihan raya.

“Setiap kali musim pilihan raya, mesti muncul kerja iblis dan syaitan memfitnah DAP. 

“Taktik kotor lama kononnya ‘Semua salah DAP’ sudah terbukti adalah satu pembohongan yang terbesar dalam sejarah tamadun manusia. 

“Sudahlah!” katanya di Twitter.

Nga mengulas poster yang memetik kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang berbunyi “Tolak DAP pro-komunis”.

Hadi di Facebooknya berkongsi dakawaan itu dengan mengaitkan DAP dengan kepulangan abu mayat pemimpin komunis Chin Peng.

Dia juga mengaitkan DAP dengan perhimpunan memperingati perjuangan komunis yang sering diadakan di Hat Yai, Thailand serta penerbitan komik "Jalur & Jalan: Meraih manfaat bersama".

“Justeru, sebarang usaha untuk mengangkat atau membenihkan semula ideologi komunisme di tanah air kita seperti mana yang pernah dilaksanakan oleh DAP sebelum ini hendaklah dicegah dan ditentang habis-habisan,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP Lim Lip Eng  sebelum ini telah mencabar Hadi mengemukakan bukti bahawa  Pakatan Harapan (PH) didalangi komunis dan golongan yang menolak peranan raja.

Katanya jika gagal bertindak demikian, bermakna dia berbohong dan patut meminta maaf kepada Yang di-Pertuan Agong dan rakyat.

Bekas pengerusi Parti Komunis Malaya Abdullah CD sendiri dalam wawancara dengan Malaysiakini pada Disember 2019 menyifatkan tindakan menyamakan DAP dengan Komunis sebagai lucu.

Katanya, berdasarkan sejarah pemimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) Lee Kuan Yew sangat antikomunis dan bertanggungjawab menghancurkan PKM di Singapura.

DAP ditubuhkan oleh penyokong-penyokong PAP selepas Singapura dikeluarkan daripada Malaysia.