Ketua Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa dia kini menjadi mangsa fitnah pihak lawan apabila klip video lama ditularkan seolah-olah dia melakukan sesuatu yang salah.

Kata Asyraf Wajdi melalui video berkenaan dia diperlihatkan seolah-olah sedang memeluk wanita bukan mahram.

Sedangkan menurutnya, ketika itu dia memeluk ibu, isteri dan adik-beradik kandungnya sendiri dan kejadian tersebut berlaku pada hari penamaan calon PRU lalu.

"Mereka cuba sedaya upaya memfitnah, mentohmah dan bersungguh-sungguh menyelongkar sebarang salah silap saya.

"Alhamdulillah Allah SWT pelihara saya daripada terlibat dengan sebarang bentuk penyelewengan dan rasuah," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Video dimuat naik Asyraf Wajdi itu ditulis dengan kapsyen "salahkah peluk ibu?".

Untuk rekod pada PRU14 lalu, Asyraf bertanding atas tiket BN di Parlimen Pasir Puteh, Kelantan.

Bagaimanapun dia tewas kepada calon PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh dari PAS dengan perbezaan 1,360 undi.

Pada 2008, dia bertanding di Parlimen Tumpat dan juga tewas.

Asyraf Wajdi dilantik sebagai senator untuk menjadi timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab atas hal ehwal agama dari 2015 hingga 2018.

Asyraf Wajdi berkata, dia menjadi sasaran fitnah kerana tidak pernah didakwa kerana pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan, kuasa ataupun melakukan sebarang perbuatan tidak berintegriti.

"Sebab itu mereka terus berusaha merosakkan reputasi dengan fitnah dan mencipta persepsi.

"Ingatlah politik fitnah hanya membawa kecelakaan dan bencana kepada diri, masyarakat dan negara," katanya lagi.