Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menuntut penjelasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung peningkatan mendadak jumlah pengundi baru di negeri itu.

"Kita akan dapatkan maklumat dan taklimat daripada pengarah SPR dalam masa terdekat ini untuk mengetahui bilangan pengundi.

"Sesetengah pihak merasa ragu kerana terlampau mendadak...jadi apabila kita mendapat taklimat, penerangan dan penjelasan daripada pengarah SPR barulah kita boleh bagi komen," dia dipetik sebagai berkata oleh Utusan Borneo Online.

Isu peningkatan itu mendapat perhatian serius pemimpin-pemimpin parti politik di Sabah.

Baru-baru ini, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Yong Teck Lee berkata daftar pemilih yang dikeluarkan SPR menunjukkan peningkatan pengundi baru sebanyak 53.9 peratus.

Katanya, jumlah pengundi sebanyak 1,064,686 pada pilihan raya umum sebelum ini meningkat kepada 1,638,806 pada tahun ini.

Media melaporkan Parlimen Sepanggar mencatatkan pengundi paling ramai dengan 107, 463 orang, diikuti Lahad Datu (99,741 orang).

Yong mendakwa terdapat skandal ‘projek IC’ sebelum ini yang mungkin menyebabkan pertambahan itu.

Bercakap kepada media selepas acara di Kota Kinabalu hari ini, Hajiji berkata perlu ada penerangan lanjut SPR susulan pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik sekarang.

"Jadi kita tidak tahu mungkin ada orang yang dulu walaupun lebih 18 tahun...21 tahun mereka tidak mendaftar dan mungkin juga ada (sudah daftar).

"Saya tidak boleh menyatakan sesuatu sehingga ada penjelasan dan penerangan lanjut daripada pihak berkenaan," jelasnya.