Pemuda BN komited untuk melibatkan diri dalam politik matang sepanjang tempoh pilihan raya ini dengan berkempen berdasarkan fakta dan bukan sentimen.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata gabungan pemuda itu berhasrat untuk memberi tumpuan kepada dasar-dasarnya semasa jelajah ke seluruh negara minggu depan.

Program jelajah bertemakan "Untuk Kestabilan dan Kemakmuran" akan bermula Selasa depan dengan memberi penjelasan mengenai polisi dan dasar BN berkaitan kestabilan serta kemakmuran rakyat.

“Ia melibatkan ketua komponen (parti) bersama atas pentas untuk menjelaskan polisi dan dasar BN demi kemakmuran rakyat.

“Kita ada rekod prestasi untuk memastikan kestabilan dapat dicapai, kita ada rekod baik dari segi memastikan kemakmuran rakyat itu dapat kita pertahankan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda BN di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, katanya, lokasi lawatan masih belum diputuskan.

Sementara itu, Asyraf berkata Pemuda BN akan menggerakkan jentera pilihan raya mereka ke 13,205 cawangannya di seluruh negara.

Tambahnya, jentera pilihan raya Pemuda Umno, Pemuda MIC, dan Pemuda MCA akan dikerahkan turun ke semua peringkat akar umbi dan membantu orang ramai sekiranya berlaku banjir.

“Kita tahu negara kita sentiasa diberi maklumat tentang hujan dan banjir kilat bokeh berlaku.

“Kita sudahpun bersetuju untuk memastikan jentera Pemuda Barisan Nasional mesti difokuskan bukan sekadar untuk berkempen tetapi untuk membantu rakyat dalam apa juga keadaan,” katanya.

Ditanya mengenai agihan kerusi sebagai calon melibatkan Pemuda BN, Asyraf berkata pihaknya masih belum mendapat maklumat berhubung perkara itu, namun senarai calon telahpun diserahkan kepada Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.

Asyraf berkata, ahli Pemuda BN belum dimaklumkan siapa yang akan diletakkan sebagai calon pada PRU15.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 19 Nov sebagai tarikh pengundian bagi PRU15, dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 Nov, manakala pengundian awal pada 15 Nov.

[Baca berita penuh]