Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersih: SPR perlu segera umum SOP banjir
Diterbitkan:  Oct 20, 2022 5:46 PM
Dikemaskini: 10:05 AM

Teka teki mengenai tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah pun terjawab namun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum mengumumkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sekiranya berlaku banjir pada hari mengundi, kata badan pemantau pilihan raya, Bersih.

"SPR masih lagi belum mengumumkan apakah SOP yang akan digunakan sekiranya tempoh pilihan raya seperti hari undi awal dan hari pembuangan undi biasa berlaku banjir besar pada ketika itu.

"SPR perlu segera mengumumkan SOP tersebut agar semua pihak terutamanya parti politik, calon dan agensi-agensi yang bertanggungjawab boleh membuat persediaan bagi menghadapi bencana banjir," kata jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagai contoh katanya, banjir kilat yang melanda Pulau Langkawi pada 16 Oktober lalu telah menjejaskan 30 kawasan penduduk, dengan 38,118 pengundi terkesan.

"Hari ini sahaja hujan ribut telah memusnahkan lebih 60 rumah di tujuh kampung di Besut, Terengganu. Sekiranya bencana yang sama terjadi, apakah SOP untuk meneruskan atau menangguhkan pilihan raya di daerah mengundi tersebut, atau lebih parah penangguhan PRU15 di peringkat nasional,” tegasnya.

Kenyataan Bersih itu mengulangi pendiriannya sebelum ini yang menggesa SPR dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) megeluarkan SOP untuk mengundi ketika banjir.

Tempoh kempen masih terlalu singkat

Dalam perkembangan sama, Bersih berkata tempoh berkempen selama 14 hari dari 5 November hingga 18 November masih terlalu singkat.

"Bersih kecewa kerana SPR masih tidak menetapkan tempoh kempen pilihan raya minimum selama 21 hari bagi memberi ruang kepada jentera pihak yang bertanding untuk bertemu rakyat memandangkan terdapat pertambahan pengundi sebanyak hampir 6 juta berbanding PRU14 yang lepas.

"Selain itu, tempoh minimum 21 hari juga akan memberi masa yang lebih kepada pengundi pos di luar negara untuk menghantar kertas undi mereka kepada pegawai pengurus sebelum masa mengira undi," katanya.

Bersih juga menggesa SPR memanjangkan tempoh penutupan bagi permohonan undi pos kategori 1B (pengundi luar negara) sekurang-kurangnya seminggu lagi, dari tarikh yang dijadualkan iaitu pada 23 November.

"Memandangkan SPR baru sahaja mengumumkan tarikh PRU15 hari ini, kemungkinan ramai pengundi luar negara menyedari untuk memohon sebagai pengundi pos kepada SPR.

"SPR bertanggungjawab memastikan setiap rakyat Malaysia yang layak mengundi untuk dilibatkan dalam setiap pilihan raya, terutamanya dalam PRU15 ini," jelasnya.

Terdahulu, SPR hari ini mengumumkan tarikh PRU15 pada 19 Nov (Sabtu), manakala pengundian awal ditetapkan pada 15 Nov.

Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 5 Nov dengan tempoh berkempen selama 14 hari.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS