Kerusi parlimen Penampang mungkin menyaksikan pertembungan antara Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking dan bakal presiden Upko Ewon Benedick pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 akan datang.

Ini selepas Upko - yang merupakan sekutu Pakatan Harapan - mengumumkan akan menyokong penuh Ewon, 39, sebagai calon untuk mencambar kerusi yang disandang Darell itu.

Warisan turut mengumumkan Darell, yang memenangi kerusi separuh bandar itu sejak PRU pada 2013 untuk mempertahankan kerusinya.

Timbalan Presiden Upko Donald Peter Mojuntin berkata pencalonan Ewon mendapat sokongan penuh kepimpinan parti dan penyokongnya, termasuk bahagian Penampang.

Donald yang juga ketua bahagian Penampang berkata dia sendiri terlibat dalam pemilihan calon bagi kerusi Penampang.

"Upko percaya era politik kini memerlukan pemimpin yang segar dan lebih dinamik serta berkeupayan. Kami menganggap Ewon sebagai pemimpin yang berpotensi besar membawa perjuangan Sabah dan rakyatnya yang berbilang kaum ke peringkat tinggi.

"Apatah lagi sebagai bakal presiden termuda dalam UPKO dan antara presiden parti yang termuda di Malaysia dengan umurnya 39 tahun," katanya seperti dipetik Berita Harian.

Ewon juga merupakan Adun untuk Kadamaian, kerusi DUN di bawah parlimen Kota Belud.

Bulan lalu, Presiden Upko Wilfred Madius Tangau mengumumkan bahawa dia tidak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti pada Oktober dan menamakan Ewon sebagai penggantinya.

Upko sejak itu telah menangguhkan mesyuarat perwakilan tiga tahun sekali, yang sepatutnya diadakan pada 15 dan 16 Okt, supaya parti itu dapat memberi tumpuan kepada PRU15.

Pencalonan Darell diumumkan oleh Presiden Warisan Shafie Apdal di Sepanggar semalam.

Darell, pertama kali memenangi Penampang pada 2013 dengan tiket PKR dan kemudian mengekalkan kerusi itu pada 2018 sebagai calon Warisan.

Sehingga hari ini, GRS dan BN yang berikrar untuk bekerjasama pada PRU15, meski belum mendedahkan calonnya.

Penampang mempunyai sejumlah 76,807 pengundi berdasarkan daftar pemilih yang diwartakan setakat Julai.