'Raih undi secara berhemah, jangan jadikan Johor sarkas'
Pengerusi BN Johor Hasni Mohammad menyelar tindakan 'politik samseng' di negeri itu susulan kekecohan kali kedua pada program Muda di Muar, malam tadi.
Bekas menteri besar Johor itu dalam ciapan di Twitter berkata, budaya politik sedemikian tidak wajar menjadi amalan pada pilihan raya umum kali ini.
"Saya percaya rakyat mahukan proses demokrasi dijalankan dengan matang, terutama sekali di Johor.
"Budaya politik sebegini tidak wajar menjadi amalan pada pilihan raya umum (PRU) kali ini.
"Berkempen dan raihlah undi rakyat secara berhemah. Jangan jadikan Johor sebagai (gelanggang) sarkas. Kita patut jadi lebih baik daripada ini," katanya yang turut memuat naik video kejadian berkenaan.
Terdahulu Presiden Muda Syed Saddiq Abdul Rahman memaklumkan sekumpulan lelaki 'bertopeng' hadir membuat kekecohan di Majlis Malam Mesra Muo anjuran Muda di Dewan Yong Sheng, Muar di Johor, malam tadi.
"Saya adakan majlis makan malam sahaja. Kenapa perlu ada provokasi lagi? Bukan saya buat apa-apa pun.
"Bila ahli Muda tanya, datang dari mana, mereka mula mengganas.
"Baling botol, baling mercun, rosakkan kereta tetamu," katanya
Pengerusi Muda Sabah Amos Thien dilaporkan cedera semasa kekecohan malam ini dan terdapat juga kereta yang rosak susulan kejadian terbabit.
Ini kali kedua, majlis Muda yang dihadiri Syed Saddiq berhadapan provokasi daripada kumpulan yang belum dikenal pasti.
Pada 16 Oktober lalu, kira-kira 20 orang muncul di ceramah itu dengan motosikal dan mencetuskan pergaduhan mulut dengan ahli dan penyokong Muda ketika presiden parti itu, Syed Saddiq sedang berucap.
Polis menyiasat kes tersebut di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Sementara itu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengecam sekeras-kerasnya kumpulan yang bertindak ganas dan samseng yang bertindak menganggu majlis makan malam Muda itu.
Dalam kenyataan media hari ini Jawatankuasa Pemandu Bersih mengingatkan semua pihak bahawa tindakan samseng dan ganas, selain dari kesalahan dalam Kanun Keseksaan, adalah satu bentuk kesalahan pilihan raya di bawah Seksyen 4A Kesalahan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
"Sekiranya disabitkan bersalah, pihak yang terlibat boleh dijatuhkan penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak lebih daripada RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
"Bersih menyeru rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan cenderung kepada kempen yang lebih positif dan sihat untuk mengecam sekeras-kerasnya dan menolak sebarang bentuk kelakuan ganas dan samseng sebegini tidak kira daripada parti mana pun," kata kenyataan itu.
Tambah Bersih, budaya kempen yang ganas dan samseng ini bukanlah budaya pilihan raya yang bersih dan bebas.
"Tindakan ganas dan samseng ini adalah satu bentuk kempen negatif dan provokasi yang melampau. Pilihan raya adalah untuk beradu kekuatan idea, polisi, manifesto dan gerak kerja bagi membantu rakyat. Kempen ganas dan samseng ini hendaklah ditolak oleh semua rakyat Malaysia. Jom keluar undi dan tolak keganasan politik," kata Bersih lagi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/03/2241a820476cff0ea3b12b86215de0a8.jpg)
