Aplikasi WhatsApp mengalami masalah apabila pengguna tidak dapat menghantar dan menerima mesej sama ada melalui telefon atau web.
Menurut laporan dari seluruh dunia, perkhidmatan WhatsApp terganggu sejak kira-kira jam 3 petang waktu Malaysia.
WhatsApp dipercayai merupakan aplikasi mesej paling popular dengan dua bilion pengguna.
Menurut Reuters, WhatsApp gagal berfungsi di beberapa negara seperti India, United Kingdom, Afrika Selatan dan Asia.
"Kami sedar bahawa sesetengah orang kini menghadapi masalah menghantar mesej dan kami sedang berusaha untuk memulihkan WhatsApp untuk semua orang secepat mungkin," kata jurucakap syarikat induk WhatsApp, Meta Platforms pada Selasa.
Downdetector memaklumkan lebih 11,000 pengguna di India melaporkan gangguan berkenaan, manakala 68,000 pengguna di United Kingdom dan 19,000 pengguna di Singapura turut melaporkan masalah sama.
