Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee tersentak dengan dakwaan bahawa pihak polis tidak menjalankan siasatan dengan sempurna sehingga menyebabkan suspek penjenayah yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO) telah dibebaskan.

"Apakah kelemahan kami?" tanya beliau apabila soalan tersebut dikemukakan kepadanya selepas majlis pelancaran buku di ibupejabat polis di Bukit Aman hari ini.

Beliau ditanya mengenai reaksinya terhadap dakwaan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum bahawa siasatan pihak polis tidak sempurna menyebabkan suspek penjenayah terbabit dibebaskan.

Johari mendakwa demikian ketika mempertahankan dirinya terhadap dakwaan bahawa beliau telah membebaskan beberapa tahanan di bawah EO selepas menerima rasuah sebanyak RM5.5 juta.

"Jika ada apa-apa (kelemahan), Kementerian (Keselamatan Dalam Negeri) akan mendapatkan kita [...] Kami (polis) di bawah kementeria berkenaan, jadi kalau ada apa-apa, kami tunggu pihak kementerian memaklumkan kepada kita," kata Wan.

Beliau berkata, pihak polis akan meneliti teguran tersebut tetapi menggesa orang ramai supaya jangan terlalu cepat membuat kesimpulan mengenainya.

Bagaimanapun, beliau enggan menggulas mengenai kes suspek tahanan yang dibebaskan itu.

Tidak ikut prosedur

Dakwaan terhadap Johari itu muncul di sebuah halaman internet yang dihoskan oleh Freewebs.com.

Ia menuduh timbalan menteri itu membebaskan suspek penjenayah yang dikaitkan dengan kegiatan kongsi gelap dan aktiviti maksiat selepas menerima bayaran tersebut. Salah seorang daripadanya dikatakan adik kepada seorang timbalan menteri.

Wan juga berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersial akan menjalankan siasatan mengenai asal usul lamanweb tersebut.

Dalam satu sidang akhbar semalam Johari menafikan dakwaan tersebut dan juga menuduh pihak polis tidak mematuhi 'standard prosedur operasi'.

Timbalan menteri itu mempunyai kuasa yang besar di bawah EO satu undang-undang pencegahan sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan suspek selama dua tahun tanpa bicara, dan keputusan tersebut tidak boleh dicabar di mahkamah.

EO telah digunakan untuk menahan atau menyekat pergerakan penjenayah dan anggota kongsi gelap yang sebahagian besarnya sukar dihadapkan ke mahkamah kerana tidak cukup bukti.

Dakwaan terhadap Johari itu merupakan skandal terbaru yang tercetus selepas munculnya dakwaan rasuah dan salahguna terhadap Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Zulkipli Mat Noor.

Siasatan dalaman

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mohd Najib Abdul Aziz, ketika ditemui di majlis yang sama, juga enggan mengulas lanjut mengenai siasatan terhadap Johari itu.

Katanya, kes tersebut sedang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) manakala pihak polis akan mengadakan siasatan dalaman untuk memastikan sama ada tahanan terbabit dibebaskan kerana kelemahan di pihaknya.

Walaupun terus ditanya pemberita, Najib enggan mengulas lanjut mengenai siasatan tersebut atau memberiahu identiti tiga suspek penjenayah yang disebut dalam dakwaan itu.

Nama ketiga-tiga mereka disebut dalam lamanweb berkenaan. Dua daripadanya dikatakan ketua kongsi gelap dari Perak manakala seorang lagi ditahan berkaitan dengan kegiatan perjudian haram di Sabah.

Bagaimanapun, sebuah laporan media memetik Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, yang kini berada di Indonesia, sebagai mengesahkan pembebasan ketiga-tiga tahanan berkenaan.

Beliau juga berkata, polis sedang menyiasat sama ada lebih ramai suspek dibebaskan daripada tahanan EO secara yang mencurigakan.

Timbalan Ketua Polis itu juga enggan mengulas mengenai status penyiasatan terhadap Zulkipli.

Zulkipli, bekas seorang pegawai tinggi polis, didakwa memperolehi harta dan kemewahan yang tidak sepadan dengan pendapatannya. Beliau telah menafikan dakwaan tersebut.

Sebelum itu, bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohd Hanif Omar melancarkan buku dalam bahasa Inggeris yang bertajuk 'The struggle for Malaysian independence' tulisan bekas Pengarah Pengurusan Polis, Datuk JJ Raj. Berita asal