Pemimpin PKR pelik kenyataan kumpulan wanita isu calon
Seorang pemimpin PKR menyatakan rasa hairan dengan kenyataan beberapa kumpulan wanita dan individu menggesa pucuk pimpinan parti mencalonkan penyandang parlimen parti itu pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.
Bekas timbalan setiausaha agung PKR, P Jenapala menyifatkan kenyataan kumpulan tersebut adalah pelik dan dibuat secara tergesa-gesa.
"Saya berasa pelik dengan kenyataan kumpulan ini yang cuba memberi nasihat kepada pucuk pimpinan berhubung pemilihan calon.
"Belum ada pengumuman rasmi pun sudah ada desakan. Macam ada orang cuba dapat kerusi dengan 'bantuan' kumpulan ini.
"Setiap parti ada strategi masing-masing untuk menang pada PRU.PKR mempunyai strategi sendiri. Sebarang penukaran kerusi atau menggugurkan penyandang adalah sebahagian daripadanya," katanya kepada Malaysiakini.
Dia berkata demikian ketika mengulas laporan bahawa lebih 121 kumpulan dan individu mengutus surat kepada pucuk pimpinan PKR menggesa agar memberi peluang kepada semua penyandang kerusi parlimen wanita parti itu mempertahankan kerusi mereka PRU15.
Peyandang kerusi parlimen wanita PKR adalah Dr Wan Azizah Wan Ismail (Pandan), Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Tan Yee Kew (Wangsa Maju) and June Leow (Hulu Selangor).
Surat itu ditandatangani oleh 121 kumpulan dan individu, termasuk Family Frontiers, G25, aktivis hak wanita Ivy Josiah dan aktivis veteran Irene Xavier.
Kumpulan itu membuat kenyataan sedemikian susulan laporan The Vibes bahawa empat kerusi itu akan diganti dengan calon lelaki.
Kata Jenapala, meskipun dia berharap PKR akan memberi lebih banyak peluang bertanding kepada kaum wanita pada PRU akan datang, terdapat pelbagai sebab seorang ahli parlimen ditukar atau digugurkan.
"Mungkin mereka ditukar ke kerusi lain seperti Kak Wan (Wan Azizah) yang berpindah dari Pandan ke Bandar Tun Razak. Mungkin ahli parlimen nak berundur secara sukarela.
"Selain itu, ada juga soal isu kesetiaan kepada parti dan prestasi buruk sebagai ahli parlimen antara beberapa sebab seorang peyandang digugurkan.
"Kita tidak boleh memberi peluang kepada seseorang hanya berdasarkan jantina. Kualiti itu lebih penting daripada jantina,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/07/3f880fe827be6a1f9153f1fa53df75a7.jpg)
