Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Sesetengah penyokong Pakatan Harapan (PH) menyatakan, adalah lebih baik mereka kalah bermaruah dalam PRU kali ini daripada bekerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad.

Bagi mereka, Mahathir ialah pemimpin yang telah mengkhianati janjinya untuk menyerahkan kepimpinan kepada Anwar Ibrahim sehingga membawa kepada kejatuhan kerajaan PH setelah 22 bulan memerintah.

Atas kemarahan itu, maka mereka menolak keras idea untuk mengadakan persefahaman politik dengan Parti Perjuang Tanah Air (Pejuang) yang dipimpin Mahathir.

Jika PH bertanding solo dalam PRU kali ini, maka PH akan kekal sebagai blok pembangkang. Apakah itu yang PH mahu? Kalah bermaruah dalam PRU kerana enggan bekerjasama lantaran kemarahan dan ego?

PH perlu ingat kemenangan mereka pada 2018 sebahagian besarnya adalah kerana pembangkang bekerjasama dengan Mahathir. Itu sejarah yang betul.

Jika kali ini PH merasakan mereka boleh menang secara solo, itu adalah mimpi atau khayalan sahaja.

Mengapa khayalan? Banyak yang boleh dibahaskan, tetapi cukup sekadar saya menyatakan masih belum terlambat untuk PH melihat semula strategi pilihan raya mereka.

Melonjakkan sokongan Melayu

Berkeras untuk kalah bermaruah kerana sakit hati dikhianati tidak dapat menyelesaikan masalah dan harapan rakyat untuk melihat perdana menteri selepas ini adalah pemimpin bebas rasuah yang dapat mengangkat maruah Malaysia yang hebat ini.

Bagi yang boleh menerima idea bekerjasama dengan parti lain, mereka boleh menerima Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM). Muda kerana idealisme perjuangannya sesuai untuk menarik sokongan anak muda, dan PSM kerana pemimpinnya berideologi dan aktivitis yang tahan diuji.

Mereka hanya keras menolak kerjasama dengan Mahathir. Jika begini pandangannya, saya menegaskan PH sukar untuk menang. Saya juga tidak suka Mahathir, tetapi untuk memenangi beberapa kerusi yang kritikal, sokongan dia adalah penting.

Mahathir mampu melonjakkan swing sokongan Melayu kepada PH. Kerjasama dengan Mahathir mampu mengelakkan pertandingan di kerusi yang sama.

Justeru saya fikir dalam suasana sokongan kepada setiap parti tidak menentu, maka - demi negara - saya mohon semua pihak yang terlibat agar mengadakan gencat senjata.

Kesampingkan rasa sakit hati, marah, dendam politik, dan takut dikhianati lagi. Sebaliknya letaklah kepentingan negara dan rakyat mengatasi segalanya.

Mahathir bukan mahu membawa Pejuang menyertai gabungan PH. Dia hanya menyatakan kesudian bertemu dan berbincang dengan Anwar. Mengapa penyokong PH perlu melenting dan marah?

Pernah sokong Anwar

Beri dahulu peluang untuk Anwar bertemu dengan Mahathir. Biarkan mereka berjumpa empat mata. Jika perlu biarkan pemimpin kanan parti komponen PH mengiringi pertemuan tersebut.

Berikan sokongan moral kepada kedua-duanya.

Dalam pertemuan itu, Anwar mintalah supaya Mahathir tidak lagi bertanding di Langkawi. Sekiranya Mahathir tidak bertanding, maka berundinglah untuk mencapai penyelesaian menang-menang.

Kedua, mintalah Mahathir beri sokongan terbuka kepada Anwar sebagai perdana menteri.

Jangan fikir ini mustahil. Ingat, pada Ogos 2021, semasa perakuan berkanun diperlukan bagi memilih perdana menteri antara Anwar dan Ismail Sabri Yaakob, Mahathir bersama empat ahli parlimen Pejuang juga memberikan sokongan mereka pada Anwar. Namun akhirnya Anwar tewas juga.

Mintalah Mahathir mengulangi sokongan tersebut sekali lagi. Pujuk Mahathir supaya dia bersedia melakukannya demi Malaysia. Saya fikir Mahathir bersedia kerana dia tentu tidak mahu kerajaan kleptokrat kembali berkuasa.

Penyokong parti masing-masing pula perlu sedar kekalahan mereka bermakna pembangkang akan kekal menjadi pembangkang, dan agenda Reformasi hanya tinggal kenangan untuk disimpan selama lima tahun lagi.

Pejuang pula mungkin akan sedikit demi sedikit melemah sebelum hilang di persada politik tanah air. Sudah tentu kegagalan bukanlah memori yang mahu dilakar Mahathir di penghujung usia beliau.

Anwar dan Mahathir adalah negarawan ulung. Hormat orang ramai kepada mereka dan kehebatan masing-masing tidak akan hilang dengan merendah diri demi negara.

Itulah takrifan negarawan.

Maka, lenturkan ego masing-masing dalam tempoh waktu yang masih ada ini untuk bertemu dan berbincang supaya akhirnya, yang menang adalah rakyat dan negara.

Kepada elit parti dan mereka yang menolak kerjasama, kendurkan ego masing-masing. Keangkuhan kalian merosak masa depan negara dan menguntungkan parti lawan.

Inilah waktunya! Tanya diri anda sendiri: apakah anda hendak kalah bermaruah? Masih ada masa untuk meneroka jalan-jalan yang terbentang sehingga 5 Nov.


MOHAMMAD AGUS YUSOFF ialah bekas ahli akademik dan kini menjadi pemerhati politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS