Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri minta waspada lepas kawasan di 4 negeri dilanda banjir
Diterbitkan:  Oct 27, 2022 4:03 PM
Dikemaskini: 8:03 AM

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa semua pihak berwaspada selepas kawasan di sekurang-kurangnya empat negeri mengalami banjir kilat semalam.

Dia berkata air naik di lokasi di Johor, Melaka, Pahang dan Kelantan selepas beberapa jam hujan semalam.

"Hujan lebat, angin kencang dan ribut petir dijangka hingga akhir bulan Oktober 2022. Hati-hati," katanya dalam catatan Facebook hari ini.

Tuan Ibrahim turut mengepilkan gambar menunjukkan kereta dan bangunan ditenggelami air deras.

Beberapa gambar turut menunjukkan anggota penyelamat mengharungi air banjir paras pinggang untuk memindahkan penduduk.

Kata Tuan Ibrahim, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan agensi lain telah menyalurkan bantuan dan membantu penduduk berpindah ke pusat pemindahan banjir.

Awal minggu ini, perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan telah merancang kemungkinan banjir semasa pilihan raya umum yang akan diadakan pada 19 Nov, tetapi percaya ia tidak akan berlaku secara besar-besaran.

"Musim tengkujuh (banjir) mungkin berlaku di Pahang atau Kelantan dan Terengganu, dan walaupun kadangkala negeri-negeri Pantai Barat seperti Selangor turut dilanda, ia tidak berlaku serentak di seluruh Malaysia. Kita harap ia tidak teruk.

“Sekiranya banjir berlaku di kawasan dan negeri tertentu, kakitangan yang akan ditempatkan kali ini adalah mencukupi untuk menjaga kepentingan rakyat terutama yang terjejas banjir,” katanya.

Ismail berkata kerajaan telah memperuntukkan sumber termasuk 7,000 anggota, 1,816 bot, 1,810 kenderaan pacuan empat roda, 1,596 lori dan 19 aset udara untuk bantuan banjir.

Para saintis termasuk dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini memberi amaran supaya tidak mengadakan pilihan raya umum semasa musim monsun timur laut kerana ia boleh menyukarkan usaha pengurusan bencana.

Pada Disember tahun lalu, hujan lebat di seluruh Semenanjung Malaysia selama tiga hari menyebabkan banjir di pelbagai negeri, menjejaskan lebih 120,000 orang dan mengorbankan 54 nyawa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS