Mahkamah arah Syed Saddiq bela diri kes pecah amanah RM1.2 juta
Bekas ketua pemuda Bersatu (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diperintah membela diri berhubung empat pertuduhan berkaitan RM1.12 juta dana parti itu.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ahli Parlimen Muar itu dalam empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.
Semasa prosiding di mahkamah hari ini, pesuruhjaya kehakiman, Azhar Abdul Hamid memberikan tiga pilihan kepada bekas menteri belia dan sukan itu bagi tujuan membela diri.
Pilihan pertama ialah memilih untuk berdiam diri, pilihan kedua memberi keterangan tidak bersumpah di dalam kandang tertuduh atau pilihan ketiga memberi keterangan bersumpah di kandang saksi yang boleh disoal balas.
Ketua peguambela, Gobind Singh Deo kemudian memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya akan memilih pilihan ketiga dan mereka akan memanggil seramai 15 saksi, termasuk tertuduh.
Azhar kemudian menetapkan perbicaraan di peringkat pembelaaan selama 10 hari pada tahun hadapan iaitu pada 22 hingga 24 Feb, 13 dan 14 Mac, serta 10 hingga 14 April 2023.
Pasukan pendakwaan diketuai oleh timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Ketika ditemui media selepas prosiding itu, Syed Saddiq sekali lagi mengulangi pendirian dia menyertai politik untuk "membersihkan" politik.
Katanya, walaupun mendapat tekanan daripada pihak tertentu, dia tidak akan hilang semangat untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
Bekas ketua Armada itu berkata, sudah tiba masanya untuk dia memberi keterangan di mahkamah dan memanggil saksi pembelaan supaya keadilan dapat ditegakkan.
"Saya berharap untuk membersihkan nama saya di mahkamah," kata Syed Saddiq.
Ketika ditanya apakah kes mahkamah itu akan memberi kesan kepada kempennya pada PRU15, pengasas bersama Muda itu berkata ia adalah hak rakyat untuk membuat keputusan
"Saya serahkan kepada rakyat Muar yang baik hati," kata penyandang ahli parlimen itu.
Pada 27 Sept lepas, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 30 saksi dalam perbicaraan yang bermula pada 21 Mei lalu.
Antara saksi tersebut ialah ibu bapa Syed Saddiq - Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff - dan Rafiq Hakim, yang merupakan bekas penolong bendahari Armada, serta pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Hidayah Kamarudin, Syahmeizy Sulong dan Asbi Munip.
Syed Saddiq didakwa selaku ketua Armada ketika itu - yang diamanahkan mengawal dana sayap parti berkenaan - bersubahat dengan Rafiq dengan melakukan pecah amanah sebanyak RM1 juta milik Armada, di CIMB Bank Bhd, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.
Syed Saddiq, 29 juga didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Bhd milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, untuk dirinya sendiri dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang itu di Malayan Banking Bhd, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, antara 8 dan 21 April 2018.
Bagi pertuduhan berkenaan, Syed Saddiq berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.
Dia juga menghadapi dua pertuduhan pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhadmiliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram yang didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/07/4b034cd753bde61ca09b68375373b2b1.jpg)
