Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Mohd Johari Baharum berkata belum ada sesiapa yang menemuinya berhubung dakwaan beliau menerima rasuah RM5.5 juta bagi membebaskan tiga penjenayah yang ditahan mengikut Ordinan Darurat.

Beliau menegaskan demikian ketika ditanya sama ada pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) sudah menemuinya, selepas menyampaikan sumbangan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) daerah Kubang Pasu di Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi dekat Jitra hari ini.

"Saya tak ada masalah apa. Polis pun tak ada masalah (dengannya). Sangat baik dan berhubung rapat (dengan polis)," katanya, menjelaskan hubungannya dengan pasukan itu.

Menurut laporan Bernama, Johari juga berkata, dakwaan rasuah itu juga tidak merisaukan dan menjejaskan tugas hariannya.

Malah, beliau bersetuju dengan pandangan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa mereka yang tidak terbabit dengan rasuah tidak perlu gundah.

Mohd Johari, yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu, berkata beliau kini sibuk dengan tugasnya termasuk melawat kawasan dan bertemu rakyat.

Ahad lalu, Johari dilaporkan mempertikaikan kredibiliti pasukan polis menjalankan tugas siasatan terhadap orang yang ditahan mengikut Ordinan Darurat kemudiannya dibebaskan tanpa pengetahuan kementerian yang sama.

Beliau menyambut baik tindakan polis menubuhkan satu badan dalaman bagi menyiasat kelemahan dalam sistem siasatan tahanan yang ditahan mengikut Ordinan Darurat.