Bekas presiden MCA Liow Tiong Lai mengkritik DAP kerana “budaya” menukar calon ke kawasan berbeza.

“Mereka tidak boleh mengekalkan ahli parlimen terlalu lama di sesuatu kawasan kerana parti itu tahu wakil rakyat mereka tidak menunaikan janji yang dibuat semasa pilihan raya.

"Jika anda tidak boleh bersungguh-sungguh dan berkhidmat kepada rakyat, bagaimana anda boleh terus bertanding?" kata Liow (gambar atas) seperti dipetik The Star.

Dia membuat dakwaan itu semasa sidang media selepas majlis di Dewan Perhimpunan Cina Bentong hari ini.

Liow mengulas tindakan DAP baru-baru ini menukar penyandang parlimen Bentong Wong Tack dengan Adun Ketari Young Syefura Othman untuk bertanding di kawasan itu pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Wong Tack, yang digugurkan oleh DAP daripada bertanding di kerusi itu, mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas bagi Bentong.

Penyandang parlimen Bentong Wong Tack

DAP menawarkan supaya Wong bertanding di Cameron Highlands, tetapi dia dikatakan tidak bersetuju.

Mengulas perkara itu, Liow berkata keputusan Wong untuk bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya akan datang akan memberi peluang kepada pengundi Bentong untuk menilai prestasinya dari 2018 - ketika Wong pertama kali dipilih.

“Dia (Wong) patut dinilai dan dihukum oleh penduduk tempatan di Bentong.

“Biar rakyat menilai. Bukan untuk saya menilai tetapi semua orang tahu Wong tidak menjalankan tugasnya sebagai ahli parlimen.

“(Malah), Bentong telah ketinggalan sejak empat tahun lalu,” katanya sambil mendakwa agenda pembangunan Bentong terbantut berikutan perubahan yang memihak kepada DAP selepas PRU15.

“Ramai penduduk tempatan mahu pembangunan diteruskan dan saya boleh memastikan agenda itu diteruskan,” tambahnya.

Liow, yang memenangi kerusi itu pada 1999 dan mempertahankannya sehingga 2018, dikenal pasti sebagai calon tunggal MCA bagi kerusi parlimen Bentong.

Dia dikalahkan oleh Wong dalam PRU lalu.