Kontrak perkhidmatan Zulkipli dijangka tamat akhir bulan ini
Kontrak perkhidmatan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Zulkipli Mat Noor yang berdepan dengan dakwaan rasuah dan salahguna kuasa, dijangka tamat hujung bulan ini, kata Timbalan Ketua Pengarah (1) BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan.
Kontrak perkhidmatan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Zulkipli Mat Noor yang berdepan dengan dakwaan rasuah dan salahguna kuasa, dijangka tamat hujung bulan ini, kata Timbalan Ketua Pengarah (1) BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan.
Mengenai siasatan terhadap Zulkipli, beliau berkata, ia akan dijalankan oleh sebuah jawatankuasa khas yang tiada kaitan dengan BPR, bagi membolehkan siasatan yang lebih telus dan adil.
"Biarlah jawatankuasa itu menjalankan siasatan berkenaan dan ketika ini beliau masih lagi bertugas dan kontrak beliau dijangka tamat hujung bulan ini," kata Ahmad Said kepada pemberita selepas majlis perasmian seminar penerangan pelan tindakan pencegahan rasuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) zon utara di Butterworth hari ini.
Menurut laporan Bernama, Ahmad Said mengakui bahawa dakwaan terhadap Zulkifli sedikit sebanyak telah menjejaskan imej dan reputasi BPR sebagai badan penguatkuasa pencegahan rasuah.
"Sememangnya bila ada laporan negatif mengenai jabatan ini, kita akan merasa sedikit kecewa dan patah semangat, dan dari segi persepsi orang ramai, kita memang terjejas tetapi ramai lagi pegawai BPR yang sedang menjalankan tugas mereka dengan bersungguh-sungguh dan biarkanlah mereka menjalankan tugas itu,"katanya.
Ahmad Said berkata laporan negatif dan isu panas berkaitan rasuah tidak perlu diperbesarkan bagi mengelakkan tanggapan serong masyarakat luar mengenai negara ini, yang sekaligus menjejaskan imej serta ekonomi negara.
Dakwaan bekas pegawai
Sebelum ini dilaporkan bahawa kontrak perkhidmatan Zulkipli sebagai Ketua Pengarah BPR telah disambungkan sehingga tahun 2008.
Beberapa dakwaan daripada perbuatan rasuah hingga kepada jenayah seksual telah dibuat terhadap Zulkipli oleh salah seorang bekas pegawai BPR.
Dakwaan tersebut terkandung dalam satu laporan yang dibuat tahun lalu oleh bekas pegawai BPR, Mohamad Ramli Manan kepada Ketua Polis Negara (KPN) ketika itu, Tan Sri Mohd Bakri Omar.
'Laporan maklumat awal' yang dibuat oleh Ramli itu didedahkan oleh Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Rasuah (Gerak), Ezam Mohd Nor dalam satu sidang akhbar di Kelana Jaya baru-baru ini.
Dalam laporan itu Ramli mendakwa Zulkipli memiliki harta yang tidak sepadan dengan sumber pendapatannya'. Dia juga didakwa terbabit dalam aktiviti tidak bermoral dan aktiviti jenayah.
Selain itu, Ramli juga mendakwa, polis telah menyiasat Zulkipli berhubung satu jenayah seksual berikutan laporan yang dibuat oleh seorang surirumah di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Menurut Ramli, dakwaan tersebut sudah diketahui oleh kalangan polis dan beberapa pegawai polis juga telah memberi bukti mengenai aktiviti rasuah Zulkipli kepada Suruhanjaya Diraja Polis, dua tahun lalu.

