Parti Keadilan Rakyat mengecam keras tindakan kerajaan negeri Selangor menggunakan beratus-ratus anggota polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) untuk merobohkan rumah peneroka bandar dan menahan aktivis di Kampung Berembang, Ampang hari ini.

Naib Presiden PKR, Sivarasa Rasiah berkata dalam kejadian mulai jam 8 pagi hingga 2 petang itu, Polis dan FRU telah mengganasi penduduk kampung, mencederakan dan menangkap enam aktivis serta penduduk.

"Ini adalah kali ketiga rumah-rumah penduduk kampung tersebut diroboh, kali pertama pada November 2006 dan kali kedua pada 5 Mac lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, PKR berpendapat tindakan tersebut bersifat 'anti-rakyat' tanpa mengendahkan proses mahkamah dan hak rakyat di sisi undang-undang, memandangkan rayuan penduduk Kampung Berembang dijadualkan didengar di mahkamah pada 14 Mac ini.

PKR juga, tegasnya, turut mengecam penahanan Ketua Penerangan PKR, Tian Chua dan lima aktivis lain yang ditangkap ketika cuba membela penduduk kampung tersebut.

'Mengusir penduduk'

PKR, katanya, menggesa pihak berkuasa menggugurkan tuduhan terhadap Tian Chua dan beliau serta lima aktivis tersebut dibebaskan segera.

Mengenai dasar pembangunan negeri Selangor, katanya, PKR kecewa terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang membenarkan pemaju bertindak sewenang-wenangnya terhadap rakyat.

Keadaan yang sama juga, katanya, terjadi di Kampung Rimba Jaya, Shah Alam sehari

sebelumnya.

"Rayuan penduduk Kampung Rimba Jaya di mahkamah ditetapkan pada 13 Mac namun pemaju dengan bantuan FRU, telah merobohkan rumah-rumah di kampung tersebut pada 6 Mac," katanya.

Kedua-dua kes tersebut, katanya, jelas menggambarkan tindakan berterusan meminggirkan mereka yang sudahpun tercicir dalam proses perbandaran.

"Tindakan kerajaan Selangor ini ibarat penjajahan baru di tanahair sendiri. Sehubungan itu, PKR menggesa Menteri Besar supaya menghentikan segala tindakan mengusir penduduk sehingga penempatan semula diatur," katanya.