Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes 1MDB: Jho Low rujuk Najib sebagai 'Optimus Prime' - saksi

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, memberi nama kod Optimus Prime untuk merujuk bekas perdana menteri Najib Razak.

Perkara itu diberitahu bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu ketika memberi keterangan dalam perbicaraan rasuah 1MDB berjumlah RM2.28 bilion terhadap Najib, hari ini.

Yu berkata, Optimus Prime adalah maksud akronim "OP" dalam transkrip yang didakwa sebagai perbualannya dengan Jho Low.

Dia juga mendakwa perbualan itu menerusi Blackberry Messenger pada 8 Disember 2014.

Keterangan itu sama seperti yang diberikannya semasa perbicaraan kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta terhadap Najib pada 2019.

Ketika pemeriksaan utama, Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram membangkitkan transkrip perbualan didakwa antara Yu dan Jho Low kepadanya.

Ketika Sri Ram bertanya maksud OP pada transkrip itu, Yu berkata ia bermaksud Optimus Prime, watak utama dalam siri Transformers.

Sri Ram: Siapa OP?

Yu: Najib.

Ketika Sri Ram bertanya siapa yang menghantar pesanan BBM berbunyi, "beritahu dia OP kata mereka mungkin akan tutup akaun menjelang akhir Disember kerana sikapnya", Yu menjawab ia dari Jho Low.

Yu berkata ia kemudian membalas pesanan itu dengan menyatakan dia telah memaklumkan hal itu kepada pengarah urusan AmBank ketika itu, Cheah Tek Kuang.

Individu yang dirujuk pada bahagian "beritahu dia" dan "sikapnya" dalam mesej itu bukan Najib, tetapi orang lain yang terlibat dalam dakwaan transaksi bank.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS