Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siswa bu tindakan UiTM hentikan Kelas Demokrasi Fahmi
Diterbitkan:  Nov 11, 2022 5:40 PM
Dikemaskini: 10:12 AM

Sesi Kelas Demokrasi yang dianjurkan aktivis, Fahmi Reza di UiTM Shah Alam hari ini dihentikan walaupun mendapat bantahan dan laungan daripada pelajar.

Memaklumkan perkara itu di Twitter, Fahmi berkata kelas berkenaan dihentikan oleh polis bantuan UiTM atas arahan pengurusan tertinggi universiti itu.

“Mereka arahkan mahasiswa untuk bersurai,” katanya.

Fahmi menganjurkan Kelas Demokrasi di laman Tik Tok bagi menerangkan sistem pilihan raya, sejak parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu.

Minggu lalu, Fahmi mengadakan kelas secara fizikal di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia selepas mendapat jemputan daripada pelajar.

Kelas di UKM itu juga dihentikan di pertengahan jalan semalam, menyebabkan Fahmi menyambung kelas berkenaan di sebuah kafe berhampiran dengan beberapa belas pelajar menghadirinya.

Di UiTM hari ini, kira-kira 100 pelajar yang hadir mula mencemuh dan melaungkan 'Hidup Mahasiswa' dan 'Hidup Rakyat', selepas kelas itu diarah dihentikan, berdasarkan video yang dimuat naik Fahmi di Twitter.

Malaysiakini telah menghubungi UKM dan UiTM untuk mendapatkan respons.

PRU kali ini merupakan kali pertama pengundi berumur 18 hingga 20 tahun dibenarkan mengundi selepas had umur minimum mengundi diturunkan.

Ia juga kali pertama pendaftaran pengundi secara automatik dilaksanakan.

Dalam tinjauan yang dilakukan Malaysiakini dan Vase.ai, 93 peratus pengundi kali pertama berusia 18 hingga 30 tahun berkata mereka berhasrat untuk turun mengundi kali ini, walaupun sebahagian besar mereka tidak memiliki pengetahuan asas mengenai sistem pilihan raya dan landskap politik Malaysia.

Penganalisis berkata, Kelas Demokrasi yang dianjurkan Fahmi menarik minat ramai pengundi muda, dengan ribuan menontonnya secara langsung, memandangkan dia mampu menjelaskan kerumitan sistem pilihan raya di Malaysia dalam bahasa yang mudah difahami dan tidak berpihak.

Lihat Komen
ADS