Perkim minta dikaji semula larangan guna bin/binti Abdullah
Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Perlis meminta agar Majlis Fatwa Negeri Perlis mengkaji secara teliti berhubung larangan menggantikan nama bapa dengan bin atau binti Abdullah.
Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Perlis meminta agar Majlis Fatwa Negeri Perlis mengkaji secara teliti berhubung larangan menggantikan nama bapa dengan bin atau binti Abdullah.
Menurut pegawai Perkim negeri Abdul Rahman Abdullah, larangan itu memerlukan kajian teliti, kerana ia dibimbangi akan menimbulkan masalah-masalah lain yang melibatkan akidah Islam dan juga aspek perundangan.
"Kami menyambut baik cadangan Majlis Fatwa Perlis mengenai saudara Islam yang baru, yang dilarang menukarkan bin atau binti kepada nama Abdullah. Tapi kami minta supaya kajian mendalam dilakukan kerana kita bimbang kalau-kalau perkara ini memberi kesan kepada akidah Islam.
"Ini memang pelik kerana memang pada zaman nabi dulu tidak perlu tukar nama selepas memeluk agama Islam. Tapi kita kena ingat kerana pada zaman itu, masyarakat menggunakan satu bahasa iaitu bahasa Arab sedangkan masyarakat kita kini terdiri daripada pelbagai kaum dan bahasa yang berbeza," katanya kepada pemberita di Kangar semalam.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata sepatutnya, saudara baru yang ingin memeluk agama Islam diberi pilihan sama ada mahu menukar nama mereka atau tidak berdasarkan kepada keadaan tertentu.
Katanya adakalanya nama asal atau nama keturunan itu membawa makna yang tidak elok dan jelas menunjukkan maksud yang tidak baik, menyebabkan mereka terpaksa menukar nama kepada yang membawa maksud lebih baik dan sesuai dengan masyarakat.
"Pada saya, dengan menukar nama kepada nama Islam, mungkin ini lebih memberi keselesaan kepada pergaulan antara saudara baru dengan umat Islam yang sedia ada. Dengan mengekalkan nama asal, mereka mungkin berasa kurang selesa dan mungkin mewujudkan rasa sangsi di kalangan masyarakat," katanya.
Kekalkan nama bapa
Selain itu, Abdul Rahman berkata bagi saudara baru yang sudah menukarkan nama mereka kepada bin atau binti Abdullah, untuk bertukar kepada nama asal, ia memerlukan penelitian tentang perlaksanaan arahan itu, kerana ia melibatkan aspek perundangan seperti perlu menukar nama dalam kad pengenalan dan segala dokumen pengenalan diri yang lain.
Kelmarin, Majlis Fatwa Negeri Perlis menetapkan orang bukan Islam yang memeluk agama Islam wajib mengekalkan nama bapa atau keturunannya tanpa perlu menukar nama asal dengan bin atau binti Abdullah.
Bernama melaporkan Mufti Negeri Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebagai berkata, fatwa itu bertujuan menangani rungutan orang bukan Islam bahawa hak mereka untuk mengekalkan nama bapa atau keturunan apabila memeluk agama Islam telah dinafikan.
"Apabila orang bukan Islam memeluk agama Islam, nama mereka dibinkan atau dibintikan dengan Abdullah. Ini tidak boleh kerana mereka sebenarnya dinafikan sifat keadilan dan hak selain menjejaskan apa yang dipertahankan oleh Islam iaitu nasab (keturunan).
"Menukarkan kepada bin Abdullah adalah pelik dan tidak berlaku dalam sejarah Islam. Pada zaman Nabi, mereka yang memeluk agama Islam tidak mengubah nama bapa atau keturunan mereka dan berkaitan dengan nasab.
"Dengan itu, Majlis Fatwa Negeri Perlis sebulat suara setuju dengan keputusan tidak membenarkan mereka mengubah nama bapa atau keturunan mereka apabila memeluk agama Islam," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan perbincangan khusus mengenai perkara itu bersama 13 anggota Majlis Fatwa Negeri Perlis.
Dr Asri berkata mengubah nama asal dan meletakknya dengan bin atau binti Abdullah apabila seseorang memeluk agama Islam hanyalah tradisi dan ia bukan syariat Islam serta tidak pula diwajibkan dalam Islam.
"Ini juga untuk menghormati keturunan seseorang itu. Banyak hadis yang melarang kita menipu keturunan. Oleh sebab itu, Majlis Fatwa Negeri Perlis membuat keputusan mengubah nama seperti itu adalah dilarang dan dalam erti kata lain, ia adalah sesuatu yang haram," katanya.

