Protes anjur satu lagi bantahan kenaikan tol
Gabungan Parti Pembangkang, Kesatuan Pekerja dan NGO (Protes) akan mengadakan satu lagi protes kenaikan kadar tol di Summit Square, USJ Subang Jaya Ahad depan.
Gabungan Parti Pembangkang, Kesatuan Pekerja dan NGO (Protes) akan mengadakan satu lagi protes kenaikan kadar tol di Summit Square, USJ Subang Jaya Ahad depan.
Setiausaha Protes, Dr Hatta Ramli berkata, perhimpunan bantahan yang kelima anjuran gabungan tersebut akan bermula jam 4 petang.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya menyertai bantahan tersebut kerana mereka berhak mengetahui kandungan perjanjian konsesi tol yang membabitkan berkepentingan awam.
"Pemimpin parti-parti pembangkang, badan bukan kerajaan, badan pelajar serta pertubuhan lain, akan hadir untuk bercakap mengenai hak rakyat dan kenaikan kadar tol baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, protes telah menganjurkan protes kenaikan tol, antaranya, di Cheras, bandar Sunway Piramid dan Gombak.
Dr Ramli berkata, Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu sebelum ini berkata perjanjian tol bukan rahsia rasmi dan kerajaan bersedia mendedahkan keseluruhan kandungannya.
Bagaimanapun, kata Dr Ramli yang juga bendahari agung PAS, sehingga ini tiada sebarang tindakan yang diambil untuk berbuat demikian.
Protes, katanya, kecewa dengan sikap kerajaan yang gagal mendedahkan kandungan perjanjian tersebut sepertimana yang dijanjikan.
'Tindak tidak wajar'
Protes juga, tambahnya, kecewa dengan keengganan Samy Vellu memohon maaf kepada empat pemimpin pembangkang yang didakwa mengikut Akta Rahsia Rasmi.
"Kami juga amat kesal dengan kemarahan Samy Vellu terhadap Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana mendedahkan lebih banyak butiran konsesi, dan berkata 'pergi jahanam dengan mereka'" katanya.
Samy Vellu dilaporkan berkata demikian dalam reaksinya terhadap cabaran Angkatan Muda PKR kepadanya supaya mendedahkan kandungan perjanjian semua konsesi tol, dalam tempoh tujuh hari.
Jika beliau gagal berbuat demikian, mereka akan mendesak polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya mengambil tindakan terhadap Menteri Kerjaraya itu.
Sehubungan itu, Dr Ramli berkata protes menyifatkan tindakan Samy Vellu itu sebagai tidak wajar dan tidak patut dilakukan oleh seorang menteri.
Sebaliknya, kata beliau, kerajaan sepatutnya memenuhi kehendak rakyat supaya mendedahkan semua perjanjian tol dan mengapa ia tidak memihak kepada mereka.
Katanya, itu yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan dan bukannya bersikap tidak menghiraukan rayuan rakyat.

