Penduduk dan NGO anti-kuari, terima ancaman bunuh
Penduduk dan aktivis akar umbi kini hidup dalam keadaan ketakutan ekoran berlakunya kejadian gangguan, kes pukul dan ancaman bunuh yang mereka dakwa ada kaitan dengan tindakan mereka menentang projek kuari di Hutan Simpan Gunung Jerai di Yan, Kedah.
Penduduk dan aktivis akar umbi kini hidup dalam keadaan ketakutan ekoran berlakunya kejadian gangguan, kes pukul dan ancaman bunuh yang mereka dakwa ada kaitan dengan tindakan mereka menentang projek kuari di Hutan Simpan Gunung Jerai di Yan, Kedah.
Penduduk yang tinggal di sekitar Bukit Singkir dalam kawasan hutan simpan tersebut mendakwa terdapat usaha untuk mengganggu mereka supaya berhenti menentang projek kuari tersebut, yang mereka dakwa telah merosakkan kawasan persekitaran dan menjejaskan kebajikan dan kehidupan mereka.
Jumaat lalu, salah seorang pemimpin jawatankuasa bertindak Singkir Azizan Osman telah dibelasah oleh dua lelaki di depan sebuah sekolah menengah di Sungai Petani.
Penyerangnya itu menarik Azizan keluar dari keretanya dan terus memukulkan bertubi-tubi di bahagian mukanya. Mereka kemudiannya beredar dari situ dengan menaiki sebuah kereta Perodua Kancil yang tidak mempunyai nombor pendaftaran.
Ketika dihubungi, Penyelaras Sahabat Alam Malaysia (SAM), Anuar Mahmud berkata, Azizan cedera teruk di mana mukanya lebam dan luka di kepalanya yang terpaksa dijahit.
"Kami mahu pihak berkuasa menyiasat dan menanganinya segera sebelum ia mengakibatkan kejadian yang lebih serius lagi," tambahnya.
'Kali ketiga peluru'
Pada hari berikutnya, Penyelaras SAM, Mohd Nizam Mahshar pula menerima ancaman bunuh.
"Kejadian di Sungai Petani itu yang pertama. Ini amaran kedua. Kali ketiga peluru pula," kata Nizam mengenai mesej tersebut yang disampaikan kepadanya melalui panggilan yang diterima oleh seorang aktivis SAM.
Nizam berkata, penduduk dan para aktivis percaya ancaman dan gangguan itu ada kaitan dengan projek kuari berkenaan, memandangkan ada aktivis SAM yang pernah menjadi sasaran berhubung isu yang sama.
Beliau merujuk kepada ancaman bunuh terhadap Penolong Setiausaha SAM, Mohd Azmi Abdul Hamid dan Setiausaha Angkatan Sahabat Alam Sekitar, Abdul Aziz Man, serta wang suapan sebanyak RM40,000 yang ditawarkan kepada Anuar.
Nizam berkata, walaupun penduduk di situ bimbang, tetapi mereka tidak akan berganjak daripada menentang apa yang mereka percaya hak mereka untuk membantah projek kuari tersebut.
"Moralnya tinggi. Kami semua akan berjuang dan membantu masyarakat terbabit," tegasnya.
Disember lalu, Mahkamah Tinggi Alor Star membatalkan permohonan penduduk terbabit untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa projek kuari itu melanggar undang-undang tempatan dan persekutuan serta menjejaskan kehidupan mereka.
Mereka sedang merayu terhadap keputusan tersebut serta memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri dan pelbagai agensi-agensi negeri meluluskan projek kuari berkenaan. Berita asal

