Suami peluk Islam boleh Ke Mahkamah Syariah bubar perkahwinan
Mahkamah Rayuan Putrajaya memutuskan Mahkamah Sivil tidak boleh menghalang suami yang telah memeluk agama Islam daripada pergi ke Mahkamah Syariah untuk membubarkan perkahwinannya dan mendapatkan hak penjagaan anaknya.
Mahkamah Rayuan Putrajaya memutuskan Mahkamah Sivil tidak boleh menghalang suami yang telah memeluk agama Islam daripada pergi ke Mahkamah Syariah untuk membubarkan perkahwinannya dan mendapatkan hak penjagaan anaknya.
Mahkamah itu, dalam keputusan majoriti dua-satu semalam, memutuskan T Saravanan, 31, seorang Islam, boleh pergi ke Mahkamah Syariah untuk membubarkan perkahwinannya dengan isterinya yang bukan beragama Islam, R Subashini.
Semasa menolak rayuan Subashini, mahkamah juga memutuskan bahawa walaupun Subashini bukan seorang isteri beragama Islam, beliau boleh pergi ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan hak penjagaan anaknya yang diperoleh suaminya.
Menurut laporan Bernama, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Suriyadi Halim Omar dan Hakim Hasan Lah menolak rayuan itu manakala Hakim Gopal Sri Ram memberikan penghakiman bertentangan.
Subashini, bekas setiausaha, merayu terhadap keputusan Mahkamah Keluarga yang mengenepikan injunksi yang diberikan kepadanya untuk menghalang sementara Saravanan daripada memulakan prosiding di Mahkamah Syariah berhubung perkahwinan mereka dan penukaran agama anak mereka.
Saravanan, bekerja sendiri, yang nama Islamnya Muhammad Shafi Abdullah, mendakwa anaknya yang lebih tua telah memeluk agama Islam bersama-samanya pada Mei.
Pasangan itu yang berkahwin sejak Julai 2001 mengikut upacara agama Hindu dan berdaftar di bawah Akta Undang-undang Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, mempunyai dua anak, Dharvin Joshua, 3, dan Sharvin yang berumur setahun.
Suriyadi, dalam penghakimannya berkata, bantahan Subashini yang hanya menggunakan alasan bahawa Mahkamah Syariah ditubuhkan hanya untuk orang Islam, tidak masuk akal.
Membenarkan injunksi hanya bersandarkan alasan yang tidak kukuh itu akan menjejaskan proses mahkamah yang mahal, katanya.
Sama ada ia atau tidak Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk mengisytiharkan perkahwinannya dengan suaminya sebagai bubar, sedangkan beliau bukan beragama Islam, merupakan soal perundangan yang akan dibincangkan pada hari lain, katanya.
Hak penjagaan
Mengenai hak penjagaan anaknya, Dharvin Joshua, Suriyadi berkata, perintah hak penjagaan sementara diperoleh dari Mahkamah Syariah pada 23 Mei, 2006 oleh suaminya, dan ia merupakan undang-undang lapuk iaitu jika perintah itu perlu disemak semula, ia perlu dilakukan oleh institusi yang mengeluarkannya.
Beliau berkata perintah berasingan boleh diperoleh dari mahkamah pemula, atau jika tidak berpuas hati dengan perintah itu, boleh mengemukakan rayuan, di mahkamah rayuan.
"Selagi perintah pada 23 Mei, 2006 masih sah, dan dalam bentuk asalnya, mahkamah ini tidak boleh mencabar atau menghalang penguatkuasaannya. Responden (Saravanan) dan Dharvin Joshua, kini prima facie ialah orang Islam, dan beberapa persoalan perundangan perlu diselesaikan terlebih dahulu," katanya.
} Hasan, dalam penghakimannya berkata mahkamah sivil terpaksa menerima bahawa Saravanan telah menukar agama pada 18 Mei 2006 dan mahkamah sivil tidak boleh mempersoalkan perkara itu.
Adalah jelas mengikut Seksyen 54(1) Akta Relif Spesifik bahawa mahkamah sivil tidak boleh mengeluarkan permohonan penangguhan prosiding di Mahkamah Syariah, katanya.
Katanya Subashini boleh memohon kepada Mahkamah Syariah untuk melaksanakan kuasa penyeliaan dan semakannya untuk membuat keputusan terhadap kesahihan permohonan suaminya dan perintah sementara yang diperolehnya atas alasan bahawa Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidangkuasa terhadap perkara itu kerana Subashini bukan orang Islam.
"Isteri (Subashini) sepatutnya berbuat demikian daripada meminta mahkamah sivil menyemak keputusan Mahkamah Syariah," katanya.
Hasan juga berkata beliau tidak boleh menerima hujahan Subashini bahawa Mahkamah Syariah tidak mempunyai ketetapan yang sama dengan mahkamah sivil kerana perkara itu tidak benar.

