PKR Merbok, Padang Serai perjelas mengapa tidak calon Anwar
Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahagian Merbok dan Padang Serai tidak mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding jawatan presiden kerana tidak mahu Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengambil tindakan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahagian Merbok dan Padang Serai tidak mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding jawatan presiden kerana tidak mahu Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengambil tindakan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Kedua-dua bahagian itu berkata, jika ROS mengambil tindakan ke atas Anwar setelah beliau menjadi presiden, ia akan merencatkan persiapan parti itu untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.
Sebelum ini Anwar menjalani penjara selepas disabit dengan tuduhan salahkuasa kuasa dan ekoran itu, beliau dilarang memegang sebarang jawatan politik selama lima tahun, dari tempoh beliau dibebaskan, iaitu sehingga April 2008.
"Apa akan jadi jika kita memilih Datuk Seri Anwar sebagai presiden dan selepas itu ROS mengambil tindakan melarangnya dari memegang jawatan tersebut?" soal Ketua PKR bahagian Padang Serai, Mat Saad Mat Din.
"Kita menjadi marah kepada ROS. Kita memprotes, termasuk mungkin mengadakan piket dan bayangkan berapa banyak masa terbung untuk semua itu.
"Ini bermakna ia sekaligus mengurangkan gerak kerja dan persiapan politik untuk menghadapi pilihanraya umum," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Mat Saad berkata, bahagiannya akan menyokong Anwar menjadi Presiden PKR jika beliau tidak lagi mempunyai masalah dengan ROS.
bahagian Padang Serai, katanya lagi, tidak mempunyai sebarang masalah dengan Anwar yang menjadi tunjang kekuatan parti.
Calon ideal
Sementara itu, Setiausaha PKR bahagian Merbok, Zamil Ibrahim berkata, walaupun tidak menjadi presiden parti, Anwar merupakan mentor kepada semua ahli dan penyokongnya.
Dalam mesyuarat perwakilan masing-masing, PKR Merbok dan Padang Serai telah mencalonkan Abdul Rahman Othman untuk jawatan presiden.
Zamil berkata, Abdul Rahman banyak menabur bakti, terutamanya dalam penggabungan PKR dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan sumbangannya semasa menjadi timbalan presiden serta bendahari parti.
"Bagi PKR Merbok, Abdul Rahman merupakan calon yang paling ideal dan dinamik untuk memimpin parti," katanya ketika dihubungi.
Sehingga ini, empat daripada 10 bahagian PKR di Kedah telahpun bermesyuarat dua mencalonkan Abdul Rahman (Merbok dan Padang Serai) manakala dua lagi mencalonkan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Sungai Petani dan Alor Star) untuk jawatan presiden.
Enam lagi bahagian yang belum bermesyuarat ialah Kubang Pasu, Kulim/Bandar Baru, Kuala Kedah, Pokok Sena, Langkawi dan Jerai.
Sehingga Ahad lalu, 26 bahagian PKR mencalonkan Anwar untuk jawatan presiden, Wan Azizah (lima) dan Abdul Rahman Othman (dua).
Bagi jawatan timbalan presiden pula, penyandang Dr Syed Husin Ali mendapat 16 pencalonan, Azmin Ali (14), Ezam Mohd Noor (dua) dan Tian Chua (satu).

