Ramli: Terima kasih atas sokongan anda
"Terima kasih". Itulah reaksi bekas pegawai kanan Badan Pencegah Rasuah (BPR), Mohamad Ramli Abdul Manan mengenai sokongan dan sanjungan orang ramai terhadap pendedahannya sejak dua minggu lalu.
"Terima kasih". Itulah reaksi bekas pegawai kanan Badan Pencegah Rasuah (BPR), Mohamad Ramli Abdul Manan mengenai sokongan dan sanjungan orang ramai terhadap pendedahannya sejak dua minggu lalu.
Dari seorang yang tidak dikenali ramai, Ramli kini menjadi tumpuan umum sejak 26 Februari lalu selepas Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) mendedahkan kandungan laporannya mengenai dakwaan rasuah dan salahlaku seksual terhadap Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Zulkipli Mat Noor.
Sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai pihak polis dan Pejabat Peguam Negara, telah ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan Ramli itu.
Ramli, 56, juga telah menyaman enam pihak termasuk Zulkipli, menuntut gantirugi am, gantirugi pampasan, gantirugi teladan dan gantirugi teruk kerana dakwaan libel, slander, pendakwaan niat jahat dan pemalsuan melulu dan/atau cuai.
Ini telah mendorong seorang pembaca menulis surat kepada malaysiakini Isnin lalu, mencadangkan penubuhan tabung bagi menyokong perjuangan Ramli. Ia terus mendapat sambutan hangat pembaca yang lainnya yang sehingga ini telah berjanji untuk menyumbang kira-kira RM1,000 jika tabung tersebut diwujudkan.
Ketika dihubungi, Ramli berkata, beliau gembira dengan sokongan seumpama itu, tetapi dengan baik menolak sebarang bantuan kewangan.
Inisiatif lain
"Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka, saya amat menghargai sokongan mereka tetapi (tidak bersetuju) tabung khas ditubuhkan untuk saya. Bukan sahaja tidak mahu menerima (bantuan), tetapi saya rasa ia tidak sesuai kerana ini adalah tindakan saya secara peribadi terhadap (pihak-pihak berkenaan)," katanya.
"Peguam saya dalam kes ini memahami keadaan saya. Mereka tidak meminta saya membayar sekarang. Mereka kata, saya boleh bayar jika dan bila saya menang kes ini dan dapat balik wang saya," katanya.
Sebaliknya, Ramli berkata, para pembaca boleh menimbang mengambil inisiatif lain untuk menyokong kempen menentang rasuah, sambil menambah, beliau gembira kerana isu tersebut telah mencetuskan perdebatan awam mengenainya.
Seorang pembaca 'Arif' berpendapat cadangan menubuhkan tabung guaman itu adalah sesuatu yang baik kerana ia memberi isyarat bahawa rakyat menyokong usaha mendedahkan perbuatan rasuah dan salahguna kuasa.
"Orang seperti Ramli tidak ramai, tetapi dengan sokongan yang kita tunjukkan itu, ia mungkin mendorong yang lain-lainnya untuk turut tampil ke depan," katanya.
Seorang lagi pembaca 'BOLH' menulis: "Saya ikhlas untuk menyumbang RM50 untuk tujuan murni itu. Masanya sudah tiba untuk kita menterjemahkan perkataan kepada tindakan, bagi membebaskan negara ini daripada barah tersebut." Berita asal

