Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Beberapa hantaran memberi amaran kemungkinan berulangnya rusuhan kaum 13 Mei 1969 ditemui di TikTok dalam masa 48 jam selepas hari pengundian pada Sabtu, dengan beberapa ratus ribu tontonan di platform itu dan perkongsian seterusnya.

Video atau penciptanya itu tidak mempunyai kaitan yang dikenal pasti antara satu sama lain tetapi menyebarkan naratif serupa yang disasarkan kepada orang Melayu-Islam, mendakwa DAP akan menguasai politik jika parti itu dibenarkan menjadi sebahagian kerajaan baru yang ditubuhkan.

Badan pemerhati media Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) berkata inisiatif pemantauan PRU15 telah mengenal pasti salah maklumat dan naratif memecahbelahkan mengenai tragedi 13 Mei 1969, yang menyasarkan DAP yang dituduh terbabis, dan pada tahap tertentu Pakatan Harapan juga.

"Penglibatan yang ketara dilihat di TikTok tetapi ia juga telah menjadi tular di seluruh platform.

"Naratif ini menghasut dan digunakan untuk menimbulkan ketakutan, dan mendorong agenda anti-DAP (anti-Cina) sambil menyeru terutamanya Perikatan Nasional untuk mentadbir negara," kata pengarah eksekutif CIJ Wathshlah Naidu.

Gambaran keseluruhan keputusan pilihan raya PRU15 sebahagiannya mengaitkan kebangkitan PN dengan kejayaan kempen media sosial di TikTok, melibatkan pempengaruh berbayar dan lain-lain yang menyasarkan pengundi baru kali pertama dan golongan muda.

Pada masa sama, Wathshlah berkata terdapat trend yang jauh lebih rendah tetapi positif mengenai usaha netizen untuk menentang naratif kebencian tersebut.

"Ia menunjukkan keperluan kritikal untuk maklumat dan berfikir secara progresif dalam menahan naratif kebencian yang disasarkan," katanya.

Dia berkata pihak berkuasa berkaitan termasuk agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia perlu mengeluarkan kenyataan untuk mengatasi penyebaran maklumat salah yang boleh dianggap menghasut dan mungkin mencetuskan keganasan.

Video itu muncul selepas pengundian Sabtu berakhir dengan keputusan parlimen tergantung.

PH menang kerusi terbanyak dengan 82 parlimen manakala PN memperoleh 73 kerusi.

Kedua-dua gabungan itu kini dalam perlumbaan untuk membentuk kerajaan seterusnya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara (KPN) Acryl Sani Abdullah Sani (gambar, atas) telah memberi amaran kepada pengguna media sosial supaya tidak menyalahgunakan platform mereka untuk menyebarkan kandungan provokasi yang boleh membawa kepada keresahan orang ramai.

Dia berkata sejak keputusan PRU15 diumumkan, polis telah menemui beberapa pengguna media sosial yang memuat naik kandungan yang menyentuh sentimen perkauman dan agama serta yang menghina institusi beraja.

“Tindakan tegas di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Hasutan serta Kanun Keseksaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menghasut situasi yang boleh mengancam keamanan dan keselamatan awam,” katanya dalam satu kenyataan.

[Baca berita asal]


BACA BERKAITAN:

13 Mei, moga tak berulang - Rusuhan 1969 yang mengubah Malaysia


ADS