Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Machap, Melaka, Datuk Wira Poh Ah Tiam meninggal dunia di Hospital Pantai, Ayer Keroh di Melaka kerana sakit barah limpa.

Mendiang menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 6 petang tadi di Pantai Hospital di Melaka.

Poh yang juga ahli Exco Kerajaan Negeri telah dimasukkan ke unit rawatan rapi hospital tersebut sejak awal bulan lalu.

Pengerusi MCA Melaka itu merupakan seorang ahli politik veteran dan telah memenangi lima kali pilihanraya berturut-turut sejak 1986.

Mendiang terpilih sebagai Adun Pulau Sebang, dengan menewaskan calon DAP, dalam pilihanraya 1986 dan mengekalkan kerusi tersebut dalam pilihanraya 1990.

Selepas itu, mendiang memenangi kerusi Bukit Sedanan dalam pilihanraya 1995 dan sekali lagi berjaya mengekalkan kerusi tersebut, dengan menewaskan calon Keadilan, dalam pilihanraya 1999.

Manakala dalam pilihanraya umum 2004, Poh menewaskan calon DAP, Liou Chen Kuang dengan majoriti 4,562 undi bagi kerusi Machap.

Poh dilantik sebagai ahli exco negeri sejak 1990 dan jawatan terakhir mendiang ialah sebagai exco perumahan dan kerajaan tempatan Melaka.

Ekoran kematian Poh, Suruhanjaya Pilihanraya dijangka mengadakan pilihanraya kecil bagi kawasan tersebut dalam tempoh 60 hari.