Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kembali ke arena politik tanahair, memberitahu sebuah media antarabangsa bahawa Malaysia kini sudah sedia untuk melalui perubahan.

Dalam temubual dengan BBC semalam, Anwar berkata, beliau tiada pilihan untuk kembali semula ke arena politik.

"Saya rasa, kita sudah bersedia untuk melakukan perubahan," kata Anwar yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurutnya, rasuah di Malaysia sekarang lebih teruk daripada sebelumnya serta wujud ketegangan kaum.

Anwar merupakan timbalan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga 1998 apabila beliau dipecat ekoran dakwaan liwat dan salahguna kuasa terhadapnya, dan menjalani hukuman penjara selama enam tahun.

Sabitan hukuman liwat terhadap Anwar kemudiannya dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada September 2004. Bagaimanapun, sabitan bagi tuduhan salahguna kuasa kekal dan ekoran itu dilarang memegang sebarang jawatan awam sehingga April 2008.

Tempoh lima tahun kerajaan sekarang akan berakhir pada 2009, tetapi pihak pembangkang sudahpun membuat persiapan bagi menghadapi pilihanraya umum yang dijangka diadakan seawal Oktober ini, dan sekaligus menghalang Anwar daripada bertanding.

Bagaimanapun, menurut PKR Ahad lalu, Anwar akan bertanding jawatan presiden parti itu. Pada masa ini, PKR dipimpin oleh isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggantikan Dr Mahathir pada 2003, tetapi Anwar berkata, pentadbiran baru itu juga "masih mewarisi sistem lama dan beliau (Abdullah) nampaknya tidak berhasrat untuk mengubah sistem tersebut".

Gabungan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) memerintah Malaysia sejak Merdeka hampir 50 tahun yang lalu.

Abdullah baik dan lembut

Anwar melihat Abdullah sebagai seorang "baik dan lembut" tetapi berkata "sistem yang korup masih wujud,", media tidak bebas dan wujud kompromi dalam banyak keputusan kehakiman.

Anwar telah membangkit perkara yang sama pada tahun-tahun kebelakangan ini sejak kembali ke tanahair selepas berkhidmat di Britain, Amerika dan Australia.

Beliau juga dijadualkan ditemubual oleh rangkaian televisyen Al Jazeera pada 28 Mac ini.

Anwar telah memfailkan saman awal fitnah tahun lalu terhadap Dr Mahathir selepas bekas perdana menteri itu berkata, beliau tidak boleh membenarkan Anwar menjadi perdana menteri kerana Anwar seorang homoseksual.

Dalam temubual dengan BBC, Anwar berkata, Mahathir merasa terancam dengan kehadirannya. Berita asal

- AFP