SPR dimaklumkan mengenai kematian Adun Machap
Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Mo'min Abdul Aziz memaklumkan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Machap Datuk Wira Poh Ah Tiam kepada Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini, untuk memulakan proses awal pilihanraya kecil DUN itu.
Katanya, surat mengenai perkara tersebut akan dikirimkan ke Ibu Pejabat SPR di Putrajaya dan salinannya ke pejabat SPR Melaka petang ini.
"Tugas kita memaklumkan secara bertulis kepada SPR mengenai kematian Adun Machap (Poh)," katanya kepada Bernama hari ini.
Poh, 55, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Pengangkutan negeri, meninggal dunia di Hospital Pantai Ayer Keroh pada jam 6 petang semalam akibat kegagalan buah pinggangnya berfungsi.
Akhbar hari ini, memetik Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sebagai berkata, pilihanraya kecil DUN itu akan diadakan dalam tempoh 60 hari berikutan kematian Poh dan SPR masih menunggu pemberitahuan oleh Speaker DUN Melaka berkenaan kematian Poh.
Penghormatan terakhir
Poh yang juga Pengerusi MCA Melaka merupakan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) kawasan Machap sejak pilihanraya umum 1999.
Pada pilihanraya umum 2004 beliau menewaskan Liou Chen Kuang (DAP) dengan majoriti undi 4,562. Poh pernah menjadi Adun Pulau Sebang (1985-1995) dan Adun Bukit Sedanan (1995-1999).
Mo'min berkata, mendiang Poh merupakan seorang wakil rakyat yang rajin bekerja untuk rakyat dan negeri.
Beliau berkata, Poh mengambil bahagian aktif dalam persidangan DUN dan selaku ahli Exco kerajaan negeri, mendiang kuat mempertahankan dasar-dasar kerajaan.
"Beliau (Poh) boleh berhujah dengan baik ketika DUN bersidang," katanya dan menurutnya kerajaan Melaka kini kehilangan seorang pemimpin yang rajin bekerja.
Jenazah mendiang kini ditempatkan di rumahnya di Jalan Bachang Baru bagi membolehkan kenalan dan orang ramai memberikan penghormatan terakhir.