Wan Azizah sedia beri laluan pada Anwar
Sekiranya ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu suaminya mengambil alih, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sedia memberi laluan.
Sekiranya ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu suaminya mengambil alih, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sedia memberi laluan.
Dan jika ahli-ahli memberi undi yang besar kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin parti itu dalam kongres nasionalnya Mei ini, maka presiden PKR itu sedia memegang sebarang jawatan kehormat dalam parti itu.
"Ini bukan satu pertandingan antara suami isteri," kata Wan Azizah kepada pemberita semalam.
"Dalam pencalonan ini, jika ahli-ahli mahu Datuk Seri Anwar jadi presiden, saya tidak ada sebarang bantahan. Saya dengan rela hati akan melepaskan jawatan saya.
"Saya rasa parti telah memutuskan yang ia masih terlalu awal, tetapi saya akan memegang jawatan kehormat," katanya selepas menerima kunjungan ahli politik pembangkang dari Taiwan, Shih Ming-te di ibupejabat parti itu di Petaling Jaya semalam.
Ditanya mengenai kesedian PKR menghadapi pilihanraya umum, Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, parti itu sudah lama bersiap sedia.
"Peluang kita cerah tetapi kita mahukan satu pilihanraya yang bersih, telus dan adil. SPR (Suruhanjaya Pilihanraya) mesti menjalankan peranan penubuhannya," katanya.
Walaupun Wan Azizah tidak menyatakan di mana beliau dan Anwar akan bertanding, katanya beliau bersedia mempertahankan Parlimen Permatang Pauh jika perlu.

